SME Corp peruntuk RM100 juta bantu 20,700 usahawan PMKS

- Advertisement -

PUTRAJAYA – SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperuntukkan RM100 juta menerusi Program Pengukuhan Mikro MADANI (Mikro MADANI) bagi membantu 20,700 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata program berkenaan menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk geran, pinjaman dan baucar pendaftaran status PMKS.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan program Mikro MADANI itu di sini hari ini, beliau berkata permohonan bagi program berkenaan telah dibuka dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang http://smecorp.gov.my/MIKROMADANI.

Antara syarat utama permohonan ialah syarikat milik usahawan PMKS perlu mempunyai pekerja kurang daripada lima orang dan memperoleh pendapatan tahunan tidak melebihi RM300,000, katanya.

“Bagi pembiayaan berbentuk pinjaman, ia membolehkan usahawan PMKS memenuhi keperluan modal kerja, pembelian mesin dan peralatan sehingga maksimum RM200,000, dengan kadar faedah serendah dua peratus setahun melalui kerjasama dengan Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Bhd (MIDF).

“Bagi baucar pendaftaran status PMKS pula, usahawan PMKS layak menerima bantuan kewangan dalam bentuk baucar bernilai RM100 bagi yuran proses pendaftaran,” katanya.

Bagi memastikan objektif program Mikro MADANI tercapai, Ewon berkata SME Corp akan melaksanakan aktiviti pemantauan terhadap semua penerima program berkenaan agar pembiayaan yang diterima digunakan bagi tujuan sepatutnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata pihaknya akan melaksanakan beberapa siri jelajah bagi mempromosikan program Mikro MADANI di seluruh negara bermula 22 Sept ini.

Katanya siri jelajah itu akan bermula di Kuantan, Pahang sebelum diteruskan ke lokasi lain dan dijangka berakhir di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Okt.

Beliau yang optimis program tersebut akan menerima sambutan menggalakkan berkata, SME Corp akan terus memberi sokongan kepada usahawan PMKS supaya keupayaan sektor itu dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi serta melonjakkan sumbangan kepada ekonomi negara.

PMKS mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 11.6 peratus pada 2022 berbanding 1.3 peratus pada 2021. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat