Tun Hanif mohon maaf kepada Kit Siang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Lim Kit Siang hari ini atas kenyataannya bahawa veteran DAP itu cuba “membahagikan Malaysia mengikut garis kaum”.

Di mahkamah, Hanif menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap Kit Siang pada 6 September 2018 pada forum yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Saya mengesahkan bahawa penahanan plaintif (Kit Siang) pada 1969 bukan atas seruan beliau agar negara dibahagikan menurut garis kaum,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon.

Kit Siang memfailkan saman fitnah terhadap Hanif pada 2018 atas dakwaan bekas Ketua Polis Negara itu bahawa dia “mahu membahagikan Malaysia mengikut garis kaum”, dengan Pantai Barat untuk orang Cina dan Pantai Timur untuk orang Melayu.

Katanya, kenyataan Hanif telah merosakkan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan tokoh masyarakat.

Menerusi samannya, Kit Siang menuntut ganti rugi umum, teruk dan teladan, selain injunksi bagi menghalang Hanif atau mana-mana ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan tersebut.

Sementara itu, penerbit Sinar Karangkraf Sdn Bhd, yang dinamakan sebagai defendan bersama, juga berkata, mereka akan menerbitkan permohonan maaf terbuka kepada Kit Siang minggu ini atas laporan berita mengenai tuduhan palsu Hanif.

Sinar Karangkraf juga perlu membayar kos RM20,000 kepada Kit Siang. Namun, tiada kos dituntut daripada Hanif.

Kit Siang turut menarik balik kenyataan dibuatnya terhadap Hanif dengan beliau mendakwa bekas KPN itu mencipta “cerita karut” berhubung penahanannya pada 1969 bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya menzahirkan kekesalan atas kejadian ini dan menarik balik kenyataan saya pada 7 September 2018 terhadap Tun Hanif,” katanya.

Terdahulu, Hanif memfailkan tuntutan balas terhadap Kit Siang atas kenyataan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat