Serampang dua mata: Skop tugas Peguam Negara, pendakwa raya perlu diasingkan – Hassan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Skop tugas Peguam Negara dan pendakwa raya perlu diasingkan bagi memudahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan fungsi menangani kes rasuah di negara ini.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menyuarakan cadangan serampang dua mata itu atas dasar individu sama memegang jawatan peguam negara dan pendakwa raya, menyebabkan ada kes disiasat SPRM berisiko ditarik semula di peringkat pendakwaan kerana alasan tertentu.

“Selama ini SPRM hanya berperanan sebagai badan penyiasat dan tidak mempunyai kuasa mendakwa di mahkamah kerana ia di bawah pendakwa raya.

“Pendakwa raya adalah individu sama memegang jawatan peguam negara yang mana kita tahu antara tugas peguam negara penasihat kepada kerajaan dan perdana menteri.

“Justeru, wujud dilema kes rasuah yang disiasat SPRM dan menunggu pendakwaan di mahkamah tiba-tiba ditarik balik oleh pihak pendakwa,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Dalam usaha terus menjadikan SPRM suruhanjaya yang berkesan dalam memerangi rasuah, Hasan berkata, bidang kuasa badan itu perlu diperluaskan dalam soal pendakwaan kes di mahkamah.

Hassan berkata, sistem pentadbiran dan amalan demokrasi yang mengamalkan prinsip pengasingan kuasa menyebabkan rakyat tidak berpuas hati kerana SPRM tidak mempunyai kuasa pendakwaan kes rasuah di mahkamah.

Katanya, SPRM perlu diletak di bawah Parlimen dan bukannya melalui bidang kuasa perdana menteri kerana dikhuatiri boleh menyebabkan risiko percanggahan kepentingan.

“Cadangan ini perlu diperhalusi dari semua aspek termasuk perundangan dan Perlembagaan Persekutuan bagi dilaksanakan, malah ia mampu menjadi pemangkin perubahan,” katanya.

Sementara itu, Hassan berkata, usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu dibentangkan di Parlimen pada sidang ini demi kebaikan imej pemimpin negara itu.

Beliau berkata, ia adalah amalan sihat dan wajar bagi seseorang perdana menteri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, iaitu di luar keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) untuk membentangkan undi percaya.

“Amalan undi percaya oleh perdana menteri pernah juga berlaku di Dewan Rakyat apabila Allahyarham Tun Hussein Onn berbuat demikian selepas mengambil jawatan dari Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Keabsahan imej dan kewibawaan Tun Hussein diperakui dunia dengan usul undi percaya itu.

“Usul undi percaya juga dilakukan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong selepas perdana menteri keempat (Tun Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat