KUALA LUMPUR – Kritikan yang dizahirkan oleh tokoh politik dan anak muda ini tidak sepatutnya dianggap ancaman, sebaliknya ia adalah manifestasi rasa tanggungjawab terhadap kedaulatan negara dan pertahanan Perlembagaan Persekutuan.
Mengheret mereka ke mahkamah hanyalah menunjukkan sikap tidak toleran terhadap suara rakyat, dan ia menggambarkan bahawa kerajaan lebih selesa menggunakan intimidasi undang-undang daripada berhujah secara matang.
Pemuda Pas menegaskan bahawa kerajaan seharusnya mendengar dengan penuh teliti setiap kritikan dan keprihatinan yang lahir daripada suara rakyat, khususnya anak muda yang semakin prihatin terhadap isu negara.
Menurut Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden, menyekat kebebasan bersuara hanya akan mencemarkan nama baik kerajaan Madani, kerana demokrasi hanya akan subur apabila rakyat diberikan ruang untuk bersuara dengan bebas.
“Pemuda Pas berdiri teguh bersama tokoh politik dan anak muda yang dizalimi melalui pertuduhan ini.
“Solidariti kami adalah tanda kebersamaan dalam menegakkan demokrasi, memperjuangkan kebebasan bersuara, dan memastikan suara anak muda terus didengari demi masa depan negara yang lebih adil dan terbuka.
“Pemuda Pas menzahirkan solidariti penuh bersama Hilman Idham dan Datuk Dr Akmal yang dikenakan pertuduhan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Tindakan ini kami lihat sebagai satu bentuk penyekatan kebebasan bersuara yang jelas bercanggah dengan semangat demokrasi dan keterbukaan yang seharusnya menjadi asas kepada sebuah kerajaan yang mendakwa menjunjung prinsip reformasi,” tegas Ahli Parlimen Alor Setar itu.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Pas Hanif Jamaluddin juga senada dengan Afnan dengan menegaskan, suara anak muda dan kritikan politik bukan musuh negara.
“Saya yakin anak muda bersama Hilman Idham dan Dr Akmal Saleh yang dikenakan pertuduhan. Pertuduhan ni seolah-olah cubaan untuk sekat kebebasan bersuara, sedangkan demokrasi sepatutnya beri ruang rakyat bersuara tanpa takut ditekan.
“Suara anak muda tanda prihatin, tanda sayang pada tanah air. Tapi bila suara ini dibawa ke mahkamah ia membuktikan bahawa kerajaan tak sanggup untuk berdepan dengan pandangan yang berbeza secara matang.
“Kalau betul nak bina negara Madani yang adil dan terbuka, kerajaan kena belajar mendengar bukannya menyekat. Rakyat terutama anak muda, makin berani bersuara kerana mereka mahukan masa depan yang lebih baik,” bidas beliau.
Kata Hanif lagi, solidariti ini tanda kebersamaan memperjuangkan kebebasan bersuara dan demi untuk memastikan suara anak muda terus kedengaran demi negara yang lebih adil untuk semua.



