KUALA LUMPUR – Veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad membidas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengakui pemimpin politik merupakan antara ancaman terbesar kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Yang jahat orang politik juga.
“Ingatkan dah tak ada Barisan Nasional (BN), kehakiman tidak lagi diganggu! Rupanya ada lagi,” ujar Shahrir.
Semalam, Tengku Maimun mengakui pemimpin politik merupakan antara ancaman terbesar kepada Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, perkara tersebut perlu dilihat secara lebih serius bagi memelihara undang-undang tertinggi negara.
“Ancaman terbesar (kepada Perlembagaan Persekutuan) ialah ahli politik.
“Saya fikir tidak perlu buat huraian lanjut,” katanya pada Selasa.
Sementara itu menjawab soalan sama ada beliau pernah berdepan campur tangan mana-mana pihak sepanjang menggalas tanggungjawab sebelum ini, Tengku Maimun mengakui perkara itu tidak berlaku.
Bagaimanapun katanya, situasi itu muncul ketika saat-saat akhir beliau hampir menamatkan tugasnya.
“Ada tanda-tanda cubaan campur tangan pada tempoh penghujung saya berkhidmat,” katanya.
Mengulas lanjut tanggungjawabnya ketika menjadi Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun berkata, asas penghakiman dibuat berdasarkan fakta dan pertimbangan adil tanpa dipengaruhi mana-mana aspek.
Beliau berkata, asas itu bukan sahaja menjadi pegangan beliau tetapi juga yakin perkara sama turut dilakukan hakim yang lain.
“Bila berada di dalam mahkamah kita buta (tidak berpihak). Bukan pertimbangan agama, kaum dan sebagainya,” katanya.



