POLYCC Pulau Pinang terajui TVET lahirkan 46,036 graduan

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

PERMATANG PAUH – Buat julung kalinya, 1,692 graduan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diraikan dengan penuh prestij dalam istiadat Konvokesyen Kolej Komuniti dan Politeknik (POLYCC) Zon Pulau Pinang di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Perai (PSP), baru-baru ini.

Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat, POLYCC Zon Pulau Pinang dalam kenyataannya memaklumkan konvokesyen bertemakan ‘Graduan POLYCC Berilmu Pemacu Generasi Madani’ ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Menurut kenyataan itu, tema tersebut dipilih seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merealisasikan hasrat kerajaan Madani untuk melahirkan graduan TVET yang memiliki kualiti keilmuan, keterampilan, keteguhan dimensi moral dan berwatak glokal yang mampu memacu masa depan negara.

Katanya, graduan dari pelbagai program telah menerima skrol diploma serta sijil masing-masing pada konvokesyen kali ini melibatkan tiga Politeknik dan enam buah Kolej Komuniti (KK).

Antaranya, Politeknik Seberang Perai , Politeknik Balik Pulau, Politeknik Metro Tasek Gelugor, KK Kepala Batas, KK Seberang Jaya, KK Bayan Baru, KK Bukit Mertajam, KK Nibong Tebal, dan KK Tasek Gelugor.

Terdahulu dalam ucapan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dato’ Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail berkata, bagi memastikan graduan TVET sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, kolaborasi bersama industri sentiasa dipergiat supaya kurikulum POLYCC lebih bersifat ‘Industry Driven Curriculum’.

Langkah ini dilaksana bagi memastikan graduan yang tamat pengajian dari POLYCC mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

“Terbukti hari ini, POLYCC Pulau Pinang telah melahirkan seramai 46,036 graduan TVET, di mana kadar kebolehpasaran graduannya melebihi 90 peratus bagi 3 tahun berturut-turut.

“Majoriti graduan yang berjaya telah mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian atau meneroka bidang keusahawanan dengan membuka perniagaan sendiri, ”katanya.

“Pada tahun ini, politeknik telah menjadi institusi pertama diberi kelulusan menggunakan logo International Engineering Alliance (IEA) – Sydney Accord dan Dublin Accord oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bagi sijil kejuruteraan dan ianya merupakan satu pencapaian yang membanggakan, ”katanya lagi.

Dalam pada itu, graduan PSP Muhammad Mohd Idrus yang mengikuti bidang Diploma Pengajian Perniagaan meraih Anugerah Khas dan sijil yang ditandatangani oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Anugerah ini diperkenalkan buat pertama kalinya, sebagai pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, berketerampilan, unggul dan mengharumkan nama POLYCC di peringkat tertinggi.

Muhammad,23, dilahirkan pada 27 Julai 2002, anak ketujuh daripada lapan beradik itu, belajar di SK Paya Kemunting dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra dan bapanya seorang pesara kerajaan, manakala ibunya pula seorang suri rumah.

Muhammad meminati bidang peniagaan, tampil sebagai seorang usahawan muda hasil dorongan dari ahli keluarganya, kini mempunyai sebuah syarikat Capt Empiren telah diasaskannya pada 2020 yang beroperasi di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Syarikatnya sekarang mempunyai 4 orang pekerja serta hampir 200 orang stokist serta agen dengan menjalankan industri pakaian seperti menjual kurta, baju Melayu, tshirt, jersey, hoodie dan lain-lain lagi, ”katanya.

Ketika menuntut di PSP, beliau cergas melibatkan diri dengan aktiviti keusahawanan di peringkat politeknik mahupun kebangsaan dengan pelbagai pencapaian yang memberangsangkan.

Antaranya, meraih 1st Best Media Tiktok Quality Award, 1st Judge Favourite Video Award, 2nd Bosmec Icon Award, 2nd Best Tiktok Campaign Award dan 3rd Most Liked FB POLYCC Bosmec Award dalam program Business Opportunity Through Social Media 2.0 2021.

Beliau turut menggondol Top 4 National Virtual Pitching Comprtition 2021, Naib Johan SME BANK Business Challenge 2022 dan mendapat Naib Johan keseluruhan, Best Tiktok Award dan Best CEO Award, dalam program Young Socialprenuer Program 2.0 2023.

Selain itu, menerima Anugerah Politeknik Malaysia di Karnival Keusahawanan KPT 2023 dan mendapat tempat pertama Anugerah Keusahawanan KPT 2023, kategori Sosial Media Terbaik.

“Saya bertekad menjadi usahawan berjaya dan berazam membantu ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat bagi menjana pendapatan demi untuk agama, bangsa dan negara.

“Walaupun menghadapi rintangan dan halangan, namun dengan dorongan dari semua pihak, saya terus menghadapinya dengan penuh cekal dan tabah.

“Untuk perancangan masa hadapan, saya mahu menjadikan Capt Empire bertaraf antarabangsa serta mampu berdaya saing dengan syarikat-syarikat yang ternama di luar negara dan bercita-cita untuk menjadi jutawan muda,”katanya lagi.

Antara kata-kata Muhammad menjadi pegangannya, ‘trust the process’ salah satu ‘quotes’ kepadanya untuk terus berjuang menjadi seorang usahawan yang berjaya kelak.

Tambah kenyataan itu, Anugerah Ketua Pengarah pula dianuerahkan kepada graduan KKNT, Nur Azmina Abd.Hamid dari program Sijil Kulinari.

Dua graduan Politeknik Seberang Perai menerima Anugerah Pengarah POLYCC iaitu Aniq Najmuddin Shariduddin, dalam bidang Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) dan Nurul Ain Abdul Razak dalam bidang Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan.

Manakala, Muhammad Nayeem Muhammad Nasir graduan program Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) dari Politeknik Metro Tasek Gelugor dan Kong Jing Yu Ivan dalam bidang Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) dari Politeknik Balik Pulau.

Keenam-enam graduan menerima sijil, plak, dan sumbangan daripada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat