Maal Hijrah Disambut Sederhana, Jadi Medan Hargai Pemimpin Barisan Hadapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Berlangsung dalam suasana negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 dan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sambutan Maal Hijrah 2020/1442 disambut sederhana dan penuh kesyukuran.

Suasana dan semangat penghijrahan tetap dirasai umat Islam negara ini, biarpun majlis harus mematuhi SOP antaranya penjarakan fizikal dan hadirin memakai pelitup muka.

Sambutan kali ini juga menjadi medan menghargai sumbangan pemimpin barisan hadapan, yang bekerja keras dalam mendepani cabaran mengekang COVID-19, apabila mereka dianugerahkan sebagai tokoh Maal Hijrah.

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah di Masjid Negara, malam ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ majlis dipimpin Imam Sudais Malaysia Ustaz Syukri Ali dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan doa akhir dan awal tahun oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni dan diikuti solat Maghrib berjemaah.

Lebih manis, dalam acara yang disiarkan secara langsung di TV1 itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah.

Syeikh Al-Azhar Al-Syarif Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib pula, diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Zulkifli berkata, pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringat nasional dan global dan mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menyambung penghargaan itu, sambutan di NEGERI SEMBILAN menghargai enam pemimpin barisan hadapan, dengan Anugerah Khas bersempena sambutan peringkat negeri itu.

Mereka adalah iaitu Panglima 1 Briged Kem Rasah Brigedier Jeneral Mohd Nazri Abd Rahman; Ketua Polis negeri Datuk Mohamad Mat Yusop; Pengarah Kesihatan negeri Datin Dr Harlina Abdul Rashid.

Turut menerima anugerah berkenaan ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Rosnah Sardi; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Lt Kol (PA) Fazlisyah Muslim; dan Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) negeri Khairul Aswadi Kamarudin.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berangkat pada majlis sambutan yang diadakan secara ringkas di Masjid Negeri, dimulai dengan bacaan doa akhir tahun 1441H dan bacaan doa awal tahun 1442H yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Di KELANTAN, Tengku Temenggung Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Doa Sempena Akhir Tahun 1441 Hijrah dan Awal Tahun 1442 Hijrah, serta Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1442H/2020M di Masjid Al-Ismaili Pasir Pekan.

Baginda diiringi Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob; Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat; Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan barisan Exco kerajaan negeri.

Pada majlis tersebut, baginda juga berkenan memberi penganugerahan kepada Tokoh Maal Hijrah Kelantan, Allahyarham Dr Yaakob Yusof, 65.

Manakala di SARAWAK pula majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1441 Hijrah, sebelum diikuti bacaan doa awal tahun 1442 Hijrah selepas solat Maghrib, selain tazkirah tentang tema sambutan yang disampaikan Mufti Negeri Sarawak Datuk Kipli Yassin.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menghadiri sambutan yang diadakan dalam keadaan sederhana, namun penuh bermakna di Masjid Al-Abyad, Matang Jaya di sini.

Abang Johari yang berucap di majlis itu berkata, peristiwa Hijrah Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah tidak seharusnya menjadi sekadar pengkisahan setiap kali tibanya awal Muharam, namun yang lebih penting adalah pengajaran sebagai panduan daripadanya.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama lebih 100 hadirin menghadiri majlis kesyukuran sambutan Ma’al Hijrah 1441H dan sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Masjid Negeri Sabah di sini.

Juhar bersama para hadirin membaca doa awal dan akhir tahun sebelum bersama menunaikan solat maghrib secara berjemaah diikuti bacaan tahlil ringkas dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kuanting@Saad Al-Hafiz.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar kemudian menyampaikan tazkirah khas mengenai konteks hijrah dan kemerdekaan dalam diri seorang muslim, sebelum menunaikan solat fardu Isyak berjemaah.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat