Agamawan wajar terus terang, kalau tak tahu, jawab tak tahu – Na’im

- Advertisement -

MAKKAH- Semua agamawan di Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam menyampaikan pandangan masing-masing dengan sentiasa menyemak rujukan yang sah berdasarkan hadis dan hayat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata agamawan seharusnya berterus terang dan perlu berani mengatakan tidak tahu jika mereka kurang arif seperti yang dilakukan oleh ulama-ulama muktabar.

“Tidak salah untuk mengatakan tidak tahu kerana Imam Malik, Imam Syafie apabila ditanya oleh anak murid, kalau tak tahu, jawab tidak tahu.

“Kita ini masalahnya kadang-kadang apabila ada soalan, kita nak jawab semua. Sepatutnya perkara yang kita tidak tahu, kita jawab tidak tahu. Ini yang diajarkan oleh ulama terdahulu sebab masyarakat hari ini apa sahaja yang dikeluarkan oleh mulut agama akan diterima kerana dahaga tentang ilmu agama,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian ketika mengulas permohonan maaf pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid, berikutan jawapan pendakwah itu untuk soalan daripada pendengar di sebuah stesen radio yang memaklumkan satu daripada waktu tidak boleh berpuasa ialah pada hari raya pertama sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, lapor Bernama.

Jawapan itu didakwa mengelirukan kerana umat Islam juga tidak boleh berpuasa pada hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Ekoran pelbagai kecaman yang diterima, Don Daniyal atau dikenali sebagai Ustaz Don, telah membuat permohonan maaf menerusi media sosial dan mengakui jawapan yang diberikan itu telah menimbulkan salah faham.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, beliau terkilan isu seperti itu masih berlarutan walaupun sebelum ini telah memberikan arahan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk berbincang dengan Ustaz Don.

“Nasihat saya apabila mahu menyampaikan ilmu pengetahuan itu, biarlah ia didasarkan kepada sumber-sumber dan rujukan yang kita yakini dan kepakaran kita. Agamawan ini mempunyai pengkhususan, kalau dalam bidang hadis, kita mempunyai agamawan yang pakar hadis,” katanya.

Mohd Naim turut menasihati agensi media agar memastikan penceramah yang dipilih mempunyai tauliah daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing.

“Media boleh juga merujuk kepada Jakim kerana (JAKIM) mempunyai senarai penceramah yang mendapat tauliah. Sekurang-kurangnya penceramah ini telah ditapis. Itu harapan saya. Perlu selalu membuat rujukan jika ada sebarang musykil,” katanya.

Selain itu, masyarakat yang mempunyai permasalahan agama dan hukum juga dinasihat agar merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa dan mufti di negeri masing-masing, katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat