Willie Mongin Mohon Sertai PBB, Dakwa Hanya ‘Parkir’ Dalam Bersatu

- Advertisement -

KUCHING – Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin hari ini mengesahkan bahawa beliau telah memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan sebuah parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Willie berkata, beliau mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli parti komonen GPS berkenaan beberapa bulan yang lalu, tetapi masih belum mendapat sebarang keputusan sama ada permohonan beliau itu diterima atau ditolak.

Menurut Willie, beliau tidak pernah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi hanya “diparkirkan” dalam parti itu untuk menyokong kerajaan yang sedia ada.

“Saya telah mengemukakan permohonan saya untuk menyertai parti tempatan dan dengan harapan mereka akan menerima permohonan saya.

“Untuk rekod apabila kerajaan bertukar saya tidak menyertai mana-mana parti tetapi saya tidak menafikan bahawa saya diletakkan di dalam untuk menyokong kerajaan yang mana mereka secara teknikal meletakkan saya di bawah Bersatu supaya saya boleh membawa nombor (bilangan kerusi yang mencukupi) bagi menyokong kerajaan hari ini dan sekarang saya juga masih menyokong kerajaan sekarang dan saya amat berterima kasih atas bantuan kerajaan sekarang.

“Saya ingin untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan saya amat bersyukur kerana semasa saya dalam kerajaan banyak bantuan dan pembangunan yang kita bawa ke kawasan pilihan raya dan saya harap ini berterusan dan saya percaya kita boleh bekerjasama untuk memastikan kestabilan bukan sahaja kerajaan persekutuan tetapi juga kestabilan kerajaan negeri kerana hanya dengan kestabilan politik dan kerajaan yang stabil kita boleh terus maju,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap parti tempatan di mana beliau mengemukakan permohonan itu akan memberi pertimbangan sewajarnya untuk menerima beliau sebagai ahlinya.

Katanya lagi, beliau komited untuk bekerjasama demi kebaikan pengundi kita di kawasan Parlimen Puncak Borneo dan juga rakyat di Sarawak dan Malaysia.

“Saya telah mengemukakan permohonan saya dan terpulang kepada pucuk pimpinan parti berkenaan untuk melihat sejauh mana keikhlasan saya bekerja dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan saya dan jika mereka fikir saya orang yang betul untuk terus membawa bendera parti dan mewakili rakyat di Puncak Borneo mereka boleh pertimbangkan dan saya amat menghargai jika mereka boleh menerima saya,” katanya.

Willie memenangi kerusi Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari PBB, Genot Sinel.

Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR ketika “Langkah Sheraton” pada awal 2020 dan bersama Bersatu sebelum dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun sama. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat