Azhar tegur, tak biar anak terus buat kesilapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aktor berpengalaman, Azhar Sulaiman, 50, percaya anak daranya, Kasih Leona Iris, 20, sudah matang untuk menentukan hala tuju kehidupannya.

Menjawab persoalan tindakan dan perkongsian dilakukan Kasih Leona dalam media sosial termasuk berpakaian mencolok mata hingga jadi kecaman netizen, Azhar berkata, dia tetap menegur jika anaknya melakukan kesilapan.

“Sama seperti pelakon Kaza dan Normah Damanhuri, anak-anak mereka turut menjadi perhatian netizen.

“Anak saya bukan kecil lagi. Sebagai ibu bapa, tentunya saya akan menegur.

“Namun, sukar sebenarnya jika Kasih Leona buat lagi walaupun sudah ditegur.

“Saya hanya berharap Kasih Leona dapat berfikir panjang dan lebih jauh. Setiap apa dilakukan beri impak terhadap keseluruhan.

“Bukan hanya Kasih Leona, tetapi saya, ibunya dan seisi keluarga,” katanya kepada BH Online.

Azhar yang turut membintangi filem pertama memanfaatkan teknologi Non Fundgible Token (NFT) berjudul Rompak itu berkata, pendekatan merotan juga tidak sesuai untuk dipraktikkan sebagai memberi pengajaran kepada anak-anak.

“Nak rotan pun, mereka sudah besar. Saya hanya mampu berharap agar Kasih Leona berubah,” katanya.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Abang 92 dan Riang Tirana itu berkata, dia tidak melihat Kasih Leona dan anak-anaknya lain mengikut jejaknya dalam arena seni.

“Saya tak nampak anak-anak mahu mengikut jejak langkah saya menyertai industri seni. Kasih Leona bakal menjadi seorang peguam, namun, apa yang dilakukan hanya suka-suka dan proses membesar.

“Orang lain buat TikTok, Kasih Leona pun nak juga ikut ‘trending’ semasa. Anak saya sama seperti orang lain.

“Tiada ada-apa istimewa. Kasih Leona sekarang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat penerbangan.

“Dapat masuk ke situ pun, orang tuduh guna kabel datuknya sebab orang kuat syarikat penerbangan berkenaan.

“Tetapi, Kasih Leona diterima sebab kelayakannya bukan kabel,” katanya.

 

Azhar bersikap terbuka seandainya anak-anaknya berminat ke arah bidang seni, namun, perlu bijak menangkis kontroversi.

 

Dalam pada itu, aktor yang mempunyai kelulusan dalam bidang seni bina itu berkongsi, dua anaknya memilih bidang lain.

“Kembar Kasih, Andika Rees Pahamin sudah bekerja, manakala Kasih Leona pula sambung belajar dalam bidang perundangan.

“Kakak mereka, Kasih Leia Ixora sudah habis belajar dan mahu menjadi ahli politik. Jadi, anak-anak memang ikut jejak langkah saya.

“Apapun, saya berterima kasih kepada isteri, Chempaka Emalin Pahamin kerana meletakkan usaha jitu bagi mendidik anak-anak jadi insan berguna.

“Saya hanya sokong dari segi kewangan,” katanya.

Namun, Azhar berkata, dia bersikap terbuka seandainya anak-anaknya berminat ke arah bidang seni.

“Pada akhirnya, mereka menentukan masa depan sendiri. Jika nak ikut saya jadi pelakon, terpulanglah kepada anak-anak.

“Namun, mereka kena bijak menangkis segala perkara termasuk kontroversi,” katanya.

Mengenai perkembangan seni, Azhar membintangi drama berjudul Hilang untuk siaran platform Viu.

“Selepas filem Rompak, rezeki saya sekali lagi berlakon di bawah arahan Ghaz Abu Bakar. Kali ini, drama berjudul Hilang.

“Nampaknya, ramai beroleh peluang bekerja, termasuk saya selepas fasa peralihan ke endemik.

“Saya sudah lama teringin berlakon di bawah Ghaz, sejak zaman beliau mengarah video muzik lagi. Secara peribadi, saya suka sentuhannya termasuk aspek sinematografi,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat