PM Ajak Keluarga Malaysia Pegang Konsep Tasamuh (Toleransi)

- Advertisement -

CYBERJAYA – Seluruh rakyat Malaysia diajak berpegang kepada konsep Tasamuh yang bermaksud saling bertoleransi dalam hidup bermasyarakat untuk kebaikan bersama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata, konsep Tasamuh yang menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan adalah selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Sebenarnya suasana aman atau keamanan ini hanya dapat dikecapi jika kita mengamalkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain untuk hidup bersama ibarat sebuah keluarga besar meskipun berbeza ras, budaya dan kepercayaan.

“Tasamuh atau sifat toleransi dalam bermasyarakat akan menjadikan seseorang itu lebih menghargai perbezaan di antara kita.

“Ia sewajarnya dijadikan amalan kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera,” katanya, ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia, di Dataran Drawbridge Kuala Terengganu, Terengganu malam ini.

Dalam ucapan sama, Perdana Menteri meluahkan rasa syukur atas nikmat keamanan dan keharmonian di negara dan mengajak rakyat mengambil iktibar dari konflik yang berlaku di beberapa negara lain.

“Kita bersyukur kerana negara bertuah ini masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama seluruh Keluarga Malaysia, meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius; antaranya membabitkan konflik Rusia-Ukraine serta kekejaman tentera rejim Israel di Palestin misalnya.

“Isu Palestin turut saya bangkitkan dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini. Dalam persidangan yang dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat dan lapan pemimpin negara-negara ASEAN itu, Malaysia merupakan satusatunya negara yang menegaskan agar pencerobohan di Palestin dapat ditangani dengan segera.

“Konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.

“Tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, terdapat saudarasaudara kita di negara-negara yang bergolak seperti Palestin, Syria, Afghanistan, dan Libya, yang menyambutnya dengan linangan air mata.

“Inilah peri pentingnya keamanan yang hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang kaya dengan pelbagai budaya dan kepercayaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat