Pesakit Kronik Dianggap Tiada Harapan Sembuh Tidak Lagi Dihantar Ke ICU – Exco Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR – Pesakit kronik yang dianggap sebagai tiada harapan untuk sembuh tidak lagi dapat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di Kedah, berikutan jumlah katil sangat terhad ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, walaupun jumlah katil di ICU masih mencukupi, pihaknya bimbang jika pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit Covid-19.

Beliau berkata, pegawai perubatan bertugas terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

“Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga. Dalam sesetengah kes doktor terpaksa pilih yang mana perlu hantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan dia lagi ke ICU.

“Ini termasuk pesakit bukan kes Covid-19, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi setengah kes. Bagaimanapun, kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persediaan hospital di Kedah dalam berhadapan peningkatan kes Covid-19 selepas Kedah mencatat kes tertinggi iaitu 445 kes semalam, selain penggunaan wad ICU dilaporkan sudah mencapai 92 peratus.

Berikutan itu, Dr Mohd Hayati meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting.

“Kita perlu ingat hospital bukan sahaja untuk merawat pesakit Covid-19, tetapi ada pesakit kencing manis dan lain-lain yang perlu rawatan dan pembedahan, selepas dibedah mereka perlu dirawat di ICU terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu katil ICU penuh, jadi orang ramai perlu patuh SOP. Jangan bersalaman dan bersembang dekat, saya tahu kita masih dalam suasana Aidilfitri, tetapi perlu berpada-pada,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sehingga kini seramai 44 pesakit Covid-19 masih dirawat di ICU dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Seramai 11 pesakit dirawat di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani manakala bakinya berada di ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan ICU Hospital Sultanah Bahiyah 2 (HSB2).

“Daripada keseluruhan 44 individu yang dirawat di ICU, cuma tiga saja yang berusia 50 tahun ke bawah, selebihnya berumur 50 tahun ke atas,” katanya.

Dr Mohd Fikri berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar dan sembilan lokaliti di Bandar Darulaman serta Lubuk Kawah, Jitra akan membolehkan pihaknya melaksanakan pengesanan kontak rapat lebih terperinci terhadap kes berkaitan.

Beliau berkata, saringan akan dibuat terhadap kumpulan sasar yang mungkin berisiko tinggi dan berpotensi meningkatkan penularan Covid-19.

“Jumlah mereka yang disaring bergantung kepada pengesanan kontak rapat dilakukan kini.

“Di Kota Setar, kami dapati penularan Covid-19 kebanyakannya saling berkait antara satu mukim dengan mukim lain.

“Namun kami akan memberi fokus secara seimbang terhadap semua mukim walaupun ada antaranya kini berstatus zon merah,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat