TAPAH — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir, telah memperkenalkan tujuh tawaran dalam manifestonya untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Dalam satu kenyataan di Command Centre BN hari ini, Dr. Yusri menjelaskan bahawa tawaran beliau merangkumi pembangunan ekonomi tempatan, peningkatan taraf hidup rakyat, pembangunan infrastruktur, pembangunan anak muda, serta pengukuhan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Selain itu, beliau turut memberi perhatian kepada warga emas, wanita, serta komuniti Orang Asli, pendidikan berkualiti untuk anak jati Ayer Kuning, dan perkhidmatan yang berjiwa rakyat.
“Menerusi tawaran ekonomi tempatan yang makmur, ia meliputi penyediaan geran khas untuk usahawan kecil, petani, pekebun kecil dan penjaja; memperluas akses pasaran bagi hasil tani dan produk kampung, serta memperkasakan keusahawanan melalui bimbingan dan e-dagang,” katanya dalam pengumuman manifestonya.
Dr. Yusri menambah bahawa antara fokus utamanya adalah untuk meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat dengan memperluaskan program kedai bergerak dan “Jualan Rahmah” serta memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan dalam program kesejahteraan rakyat.
Pendidikan berkualiti turut menjadi tumpuan dalam manifestonya, dengan usaha untuk menaik taraf kemudahan sekolah rendah, menengah, dan prasekolah, serta menyediakan sokongan pendidikan dan kelas motivasi untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Saya juga akan membuka Pusat Khidmat Rakyat dengan waktu operasi yang lebih panjang, termasuk pada hujung minggu, dan menjalankan lawatan berkala ke kampung serta taman untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat secara langsung,” katanya.
Manifesto bertemakan “Ayer Kuning Sejahtera Bersama” itu merupakan hasil daripada mendengar sendiri luahan dan aspirasi masyarakat setempat, yang kemudiannya disusun dengan teliti berdasarkan pengamatannya di lapangan.
Dr. Yusri berkata tiga tekad utama menjadi asas kepada seluruh usaha yang akan dilaksanakan, iaitu menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, menolak sentimen perkauman dan politik kebencian yang boleh memecahbelahkan rakyat, serta menghubungkan inisiatif sosioekonomi di kawasan itu dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Beliau turut menegaskan bahawa manifesto tersebut bukan sekadar tawaran politik, tetapi satu ikrar, tanggungjawab, dan komitmen untuk turun padang mendengar suara rakyat serta bekerja sedaya upaya untuk memastikan setiap perkara yang dinyatakan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.