Kenapa tak berani namakan Zahid calon PM? – Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berhubung calon Perdana Menteri seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau tidak yakin untuk meletakkan presiden parti sendiri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri,” kata Ahli Biro Penerangan Bersatu, Hizwan Ahmad.

Katanya, tindakan Shahril membayangkan UMNO mempunyai ramai calon Perdana Menteri secara tidak langsung mengakui bahawa parti itu tidak ada keyakinan penuh terhadap Zahid.

“Kenapa Shahril sendiri takut untuk mengangkat nama Ahmad Zahid sebagai satu-satunya calon yang layak sebagai Perdana Menteri daripada UMNO? Adakah Shahril merasakan Ahmad Zahid mempunyai masalah dan sudah tidak layak?

“Situasi ini berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang tuntas mencadangkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan.

Malah, Hizwan bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung kewibawaan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Tidak ada sesiapa boleh mencabar rekod dan komitmen Muhyiddin dalam membela nasib rakyat dan mengembalikan maruah negara,” katanya.

Shahril baru-baru ini menyangkal dakwaan Wan Saiful berhubung tiada calon Perdana Menteri lain yang sesuai selain daripada Muhyiddin.

Beliau menyifatkan, Bersatu hanya mempunyai seorang calon Perdana Menteri sedangkan UMNO mempunyai ramai pemimpin berkaliber yang boleh diketengahkan sebagai calon namun menganggap partinya tidak tergesa-gesa untuk menamakan mana-mana individu.

Sebelum ini, Shahril memberi alasan parti itu tidak menamakan calon Perdana Menteri kerana belum tiba masa untuk berbuat demikian.

Menyanggah kenyataan rakan sejawatnya dari Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai calon Perdana Menteri, beliau berkata bila dan siapa calon itu terletak kepada keputusan UMNO, bukan pihak lain.

“UMNO belum menamakan. Bila hendak menamakan, itu keputusan UMNO-lah. Setahu kami, PRU bukan esok… maka, UMNO tak tergesa-gesa hendak menamakan calon PM,” katanya.

UMNO juga, katanya, mempunyai ramai pemimpin berkaliber yang boleh diketengahkan bukan hanya sebagai calon jawatan Perdana Menteri, tetapi membarisi kepemimpinan secara umumnya, baik di peringkat Persekutuan atau Negeri.

Sebelum ini Wan Saiful mempersoalkan siapakah calon yang ditawarkan oleh BN sebagai Perdana Menteri, berbading Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau PH mereka akan tawarkan Anwar yang akan datang bersama DAP. Kalau BN, siapa mereka akan tawarkan sebagai Perdana Menteri? Sampai hari ini mereka belum namakan calon Perdena Menteri mereka.

“Saya jangka sebagai Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi calonnya. Bila dibandingkan ketiga-tiganya rekod Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan beliau bukan sahaja layak malah patut meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri,” kata Wan Saiful.

Mengulas lanjut, Shahril dalam satu kenyataan hari ini berkata Bersatu mungkin hanya memikirkan jawatan Perdana Menteri sahaja dan jawatan-jawatan lain dilakukan dengan ‘tangkap muat’ sahaja.

Pada masa sama beliau memuji sikap Bersatu yang menyeru kepada penyatuan, berbanding ketika parti itu berada di dalam kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan mentadbir negara. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat