KUALA LUMPUR – Dunia Islam mesti mempamerkan solidariti yang lebih besar terhadap warga Palestin ini tidak sekadar melalui retorik, tetapi dengan tindakan yang kolektif, usaha diplomatik yang sistematik dan berterusan, serta dukungan ekonomi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pembunuhan beramai-ramai, peluasan penempatan haram dan pengusiran berterusan warga Palestin menuntut lebih daripada sekadar kecaman.
“Dunia Islam mesti komited dalam menyediakan dukungan dalam aspek pendidikan, hak dan akses kepada kesihatan dan infrastruktur serta mesti melonjak suara mereka di setiap platform antarabangsa.
“Selain Palestin, saya juga sampaikan bahawa Syria berpotensi menjadi model bagi usaha perdamaian dan rujukan selain menggesa dunia Islam untuk sama-sama menyusun masa depan mereka.
“Tanda-tanda awal penyesuaian dan usaha membina keamanan di Syria bukan sahaja membawa harapan kepada rakyat Syria, tetapi juga peluang bagi seluruh ummah.
“Insya-Allah, biar sejarah mencatat bahawa – melalui tindakan, integriti, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi – kita sememangnya satu ummah, dengan satu tujuan yang sama,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua negara bagi menyampaikan ucapan dan berkongsi pandangan bersama para ulama serta sarjana Islam di Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC).
Menurut Perdana Menteri lagi, platform ini dimanfaatkan dalam menggesa agar kumpulan ini bersatu dalam menangani isu sektarianisme dengan mengambil tindakan konkrit mendukung Palestin dan Syria.
“Saya tegaskan bahawa eksploitasi sektarianisme digunakan sebagai senjata membakar ketegangan hanya akan memecah belah masyarakat serta melemahkan kerjasama politik sekali gus menjauhkan kita dari kesatuan yang didambakan.
“Alhamdulillah, ucapan saya ini senada dengan gesaan Imam Besar Al Azhar Al Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb, yang menggesa agar sarjana dan kepemimpinan dunia Islam untuk memimpin usaha memupuk perpaduan serta bertindak dengan kesedaran sebagai ummah yang bersatu, selain menolak budaya fanatisme agama yang kian mengakar,” kata Anwar.