CUPERTINO – Apple secara rasmi mengumumkan model iPhone baharu, iPhone 16e, yang ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding model utama yang biasanya dilancarkan pada bulan September.
iPhone 16e akan dijual pada harga $599 sekitar RM 3,000 dan mula berada di pasaran hujung bulan ini.
Reka Bentuk Moden Tanpa Butang Home
iPhone 16e menampilkan reka bentuk terkini tanpa butang home dan sensor cap jari. Sebaliknya, ia menggunakan teknologi Face ID dengan takuk sensor di bahagian atas skrin, seperti model iPhone premium.
Telefon ini dikuasakan oleh cip A18, yang turut digunakan dalam siri utama iPhone 16. Ini bermakna iPhone 16e mampu menjalankan semua aplikasi dan permainan yang sama seperti model iPhone yang lebih mahal.
Model ini hadir dalam dua pilihan warna, iaitu hitam dan putih.
Modem Baharu & Teknologi Kamera
Buat pertama kali, Apple menggunakan modem C1, cip pemprosesan rangkaian selular buatan sendiri, menggantikan modem Qualcomm yang digunakan pada iPhone sebelumnya.
Dari segi kamera, iPhone 16e dilengkapi satu lensa kamera berbanding sehingga tiga lensa pada model iPhone paling canggih.
Pelancaran model ini menandakan langkah strategik Apple untuk menarik lebih ramai pengguna ke dalam ekosistemnya, terutama dengan menyokong teknologi Apple Intelligence.
Ini menjadikan iPhone 16e sebagai telefon termurah Apple yang menyokong ciri kecerdasan buatan seperti penjanaan imej dan ringkasan notifikasi.
Apple sebelum ini menawarkan model iPhone bajet melalui siri iPhone SE sejak 2016, dengan kemas kini pada 2020 dan 2022. Bagaimanapun, setelah stok iPhone SE lama habis, tiada lagi model iPhone baharu dengan sensor cap jari akan dikeluarkan.
Model iPhone 16 semasa bermula pada $799, manakala iPhone 16 Pro pula bermula pada $999. Sebelum pelancaran ini, hanya model iPhone 16 dan iPhone 15 Pro sahaja yang menyokong Apple Intelligence.
Pelancaran Secara Senyap, Berbeza Daripada Kebiasaan Apple
Berbeza dengan pelancaran besar-besaran sebelum ini, Apple kali ini memperkenalkan iPhone 16e menerusi kenyataan media, tanpa acara langsung seperti tahun-tahun sebelumnya.
Sebelum pelancaran ini, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook memberi petunjuk dengan ciapan di media sosial: “Get ready to meet the newest member of the family.”
Dengan pelancaran ini, Apple dilihat menguji strategi pemasaran baharu untuk melihat sejauh mana perhatian global boleh dicapai melalui pengumuman yang lebih sederhana.