Pesanan papa rock

- Advertisement -

TIADA rahsia tertentu buat penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Ramli Sarip apabila ditanya mengenai ramuan untuk terus bertapak dalam industri seni tanah air hingga kini.

Sekalipun semakin dimamah usia figura yang digelar Papa Rock berusia 71 tahun itu menganggap pembabitan mana-mana insan seni untuk terus melakar kejayaan adalah bersandar kepada kemahuan individu itu sendiri.

“Pesanan saya jika mahu betul-betul melangkah lebih jauh, seseorang itu perlu serius dan teruskan berkarya kerana cabaran akan datang pastinya lebih mencabar terutama dengan adanya pelbagai medium untuk seseorang mengetengahkan lagi bakat mereka.

“Tapi, mereka perlu kekal dengan matlamat asal supaya tidak tersasar,” katanya selepas mengadakan persembahan di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) bersempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS).

Boleh dikatakan Ramli antara insan yang paling layak untuk berkongsi tip dan ramuan buat generasi muda yang ingin terus bertahan dalam industri hiburan.

Beliau yang memulakan kerjaya dalam dunia seni dengan menganggotai kumpulan rock ikonik, Sweet Charity, penyanyi berasal dari Singapura itu menjelaskan faktor utama yang perlu ada dalam diri insan seni adalah disiplin.

“Selain itu, mereka perlu bekerja lebih keras lagi dalam apa jua yang dilakukan, usah jemu berkarya kerana itu juga antara elemen yang perlu ada dalam diri setiap insan jika mahu terus bertahan lebih lama dalam industri yang mereka ceburi.

“Setiap penyanyi juga perlu mencipta dan menyanyi lagu yang bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada diri mereka sendiri, malah juga kepada pendengar dan masyarakat. Ini penting mereka tahu, jangan sekadar menyanyi dengan syok sendiri.

“Saya lihat dan akui ramai artis baharu yang meningkat, tapi tidak mampu bertahan lama, mereka perlu ingat perkara ini bukan sekadar hiburan, tetapi perlu terapkan nilai kehidupan.

“Walaupun akui untuk bertahan ini sukar untuk ungkapkan buat seseorang anak seni kerana ia bersifat subjektif, namun mereka juga perlu ada perancangan dan hala tuju jelas serta perlu dicatat, bukan sekadar keluar daripada mulut.” katanya.

Mengulas jelajah album baharunya yang berjudul Rasa, penyanyi yang popular dengan lagu Kamelia dan Perjalanan Hidup ini meluahkan perasaan teruja kerana lagunya diterima peminat dan masyarakat.

Tambah penyanyi bervokal serak basah itu, album yang dibuat dalam dua negara Malaysia dan Singapura ini begitu menyentuh jiwa dan emosinya sehingga tidak tersedar air matanya mengalir membasahi pipi kerana terkenangkan keluarga dan rakan-rakan yang sudah tiada.

“Dalam album ke-12 ini ada sepuluh lagu, boleh dikatakan karya terbaik saya selepas album Sejuta Wajah bersama kumpulan Sweet Charity dan album solo, Bukan Kerana Nama serta Syair Timur kerana lagunya terlalu istimewa buat semua peminat dan pendengar.

“Setakat ini saya sudah menjelajah tujuh tempat termasuk di Melaka, Sarawak dan Kuala Lumpur untuk mempromosikan lagi album itu, Insya-Allah jika ada masa dan ruang, saya berusaha memenuhi permintaan daripada semua penganjur.

“Harapan supaya lagu dalam album ini dapat membakar semangat bukan hanya untuk saya, tetapi buat semua pendengar dan peminat kerana lagunya berkisarkan falsafah seni kehidupan dan dakwah,” katanya yang tidak akan berhenti membuat kebajikan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat