KUALA LUMPUR – Umno Kedah menyambut baik langkah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) yang telah mengambil inisiatif menjalankan siasatan berhubung dakwaan menggemparkan berkaitan Solat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) yang dikaitkan dengan seorang individu dikenali ramai.
Ketua Penerangan Umno Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan ini amat penting bagi mengekang penyebaran fahaman atau kepercayaan yang boleh memesongkan pemahaman masyarakat terhadap ajaran Islam yang sahih.
“Umno Kedah berharap agar siasatan ini dapat dijalankan secara telus, berlandaskan fakta dan hukum syarak, tanpa sebarang tekanan atau pengaruh politik daripada mana-mana pihak. Dalam soal aqidah dan kesucian ibadah, tiada ruang untuk kompromi.
“Kami turut mendesak agar hasil siasatan ini didedahkan kepada umum, agar tidak timbul lagi kekeliruan atau spekulasi dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini khususnya, dan di Malaysia amnya.
“Umno Kedah akan terus menyokong sebarang usaha institusi agama negeri dalam mempertahankan ajaran Islam yang murni dan menolak segala bentuk kepercayaan atau amalan yang bercanggah dengan syariat,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal mendakwa solat Jumaat bersama bunian yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan umat Islam.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali juga berkata, dakwaan individu kononnya seorang agamawan bersolat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) adalah tidak boleh dipercayai.
Beliau berkata, ini kerana jin atau bunian sifatnya suka berbohong dan merupakan makhluk halus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
“Jin atau bunian adalah makhluk halus yang tidak nampak di mata kasar manusia. Bagaimana dapat dibuktikan solat Jumaat berlangsung bersama dengan jin?
“Sekiranya dakwaan berlaku menerusi suara manusia yang dirasuk oleh jin, kaedah hadis sahih Bukhari Muslim mengajar dakwaan itu tidak boleh dipercayai kerana jin sifatnya suka berbohong,” katanya.