KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi menerima rawatan fisioterapi tanpa pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
Setiausaha Akhbar beliau Sufi Yusoff memaklumkan, pihak perubatan dan doktor pakar buat masa ini berpuas hati dengan tahap kemajuan proses pemulihan dan rawatan yang dijalankan selepas 14 hari beliau dimasukkan ke IJN.
“Pada 6 Januari 2026, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengalami patah tulang pinggul kanan akibat terjatuh di kediamannya di The Mines.
“Dr Mahathir telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara di mana beliau masih lagi menerima rawatan fisioterapi tanpa pembedahan hari ini.
“Walaubagaimanapun proses pemulihan secara fisioterapi ini tetap dijangka akan mengambil masa yang agak panjang,” ujar Sufi dalam kenyataan media pada Selasa.
Dalam pada itu beliau memberitahu, Dr Mahathir dan keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terus menerus bertanyakan akan keadaan kesihatan beliau serta mendoakan agar beliau cepat pulih.
“Pihak keluarga juga ingin memohon maaf kerana atas nasihat pakar perubatan, ziarah terhad hanya kepada keluarga terdekat buat masa ini,” kata Sufi.



