Pemuda MCA beritahu masyarakat Cina pentingnya kuasai BM, Sejarah bendung perpecahan kaum

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong menegaskan pentingnya menguasai bahasa Melayu dan Sejarah bukan untuk kepentingan satu-satu kaum.

Tetapi katanya, penguasaan bahasa kebangsaan dan Sejarah itu bertujuan menangani polarisasi kaum dan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan.

“Bulan lepas, saya sudah berkata mengenai pentingnya menguasai Bahasa Kebangsaan dan memahami sejarah Malaysia. Ini bukan untuk kepentingan satu-satu kaum, tetapi bagaimana kita nak menangani polarisasi kaum dan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan.

“Pendirian saya selama ini konsisten dan saya menganggap usaha memperkasakan agenda nasional ini adalah sangat penting untuk perpaduan dan keharmonian negara.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh! seru beliau.

Choo Seong sebelum ini pernah menggesa masyarakat Cina Malaysia untuk menguasai Bahasa Melayu, dengan mengatakan ia penting untuk melindungi kepentingan komuniti di tengah-tengah polarisasi kaum yang semakin meningkat.

Kenyataannya itu dibuat di tengah kontroversi baharu mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau berkata penguasaan bahasa kebangsaan semakin penting untuk memastikan peluang yang adil bagi generasi akan datang dan penyertaan yang berkesan dalam hal ehwal negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelajar tempatan di universiti awam dan swasta akan diwajibkan belajar Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia yang akan diperkenal menerusi mata pelajaran umum mulai tahun ini.

Anwar berkata, mata pelajaran itu akan diajar dalam bahasa Melayu dan dimasukkan dalam kurikulum mata pelajaran umum yang sudah dirombak semula.

“Di peringkat pendidikan tinggi, kita tak wajib bahasa Melayu dan sejarah, tapi mulai tahun ini kita akan perkenalkan mata pelajaran umum yang dirombak semula dan diajar dalam bahasa Melayu di seluruh UA dan swasta bagi pelajar Malaysia.

“Iaitu Perlembagaan (Persekutuan), sejarah Malaysia dimasukkan dalam kurikulum, ia tidak terlalu menekan dan kita tetap mahu anak-anak dalam pelbagai bidang dan disiplin yang memerlukan tumpuan yang lebih,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya pada Selasa.

Anwar berkata, tidak wajar bagi seorang anak Malaysia tidak mengerti mengenai sejarah negara.

“Kalau mahu selamatkan negara ini, biarkan semua anak kita menguasai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan dan sejarah,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat