KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih keseluruhan sistem pra-universiti atau Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelajar yang akan mengikuti sistem pendidikan berkenaan akan mula memasuki kategori pendidikan tinggi.
“Mulai tahun ini, sebagaimana Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil alih seluruh sistem pra-sekolah, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih seluruh sistem pendidikan pra-universiti tingkatan 6 dan matrikulasi.
“Jadi pelajar tingkatan 6 dan matrikulasi itu bukan lagi pelajar sekolah. Dia sudah masuk ke kategori pendidikan tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Putrajaya pada Selasa.



