KUALA LUMPUR — Sistem Purata Nilai Gred Karakter (i-CGPA) 2.0 akan diperkenalkan semula dan diperkasakan sebagai antara teras utama transformasi pendidikan tinggi negara, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim.
Beliau berkata, pendekatan penilaian tersebut bertujuan memastikan pembangunan mahasiswa tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi pembentukan karakter, etika, nilai diri serta kemahiran insaniah yang seimbang.
“Sistem ini bertujuan menilai perkembangan pelajar secara menyeluruh, merangkumi bukan sahaja pencapaian akademik, malah kemahiran insaniah, etika dan nilai diri, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang seimbang, berintegriti dan berdaya saing.
“KPT menyasarkan pelaksanaan sistem ini di seluruh Universiti Awam (UA) dengan penggunaan sepenuhnya menjelang tahun 2028.
“i-CGPA 2.0 akan menilai perkembangan pelajar secara holistik, selaras dengan hasrat melahirkan graduan yang berintegriti, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran dunia sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamal Ashaari, Ahli Parlimen Kuala Krau mengenai cadangan memperkenalkan Indeks Kesejahteraan Pelajar dan Graduan di IPT, di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, RPTM 2026–2035 yang bakal diluncurkan oleh Perdana Menteri merupakan pelan strategik penting untuk melonjakkan agenda transformasi pendidikan tinggi agar kekal relevan, berdaya saing serta responsif terhadap landskap global yang kian dinamik.
Adam turut memaklumkan bahawa penilaian kesejahteraan mahasiswa kini dilaksanakan secara berstruktur dan berterusan oleh Universiti Awam melalui mekanisme masing-masing.



