KUALA LUMPUR — Kerajaan menegaskan bahawa urusan mendapatkan nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian bagi pasangan beragama Islam perlu dilakukan melalui saluran rasmi serta pihak berkuasa yang diiktiraf, susulan kebimbangan terhadap kewujudan perkhidmatan dikenali sebagai ‘coach cerai’ yang boleh mengelirukan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, panduan yang tidak berpaksikan syariat Islam boleh menimbulkan kekeliruan serta memberi kesan buruk kepada keharmonian institusi rumah tangga.
“Isu ‘coach cerai’ memberi pengajaran bahawa sebarang nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian perlu melalui pendekatan ilmu, kefahaman, bimbingan dan pihak berkuasa yang jelas.
“Rundingan yang adil perlu diambil sebelum sebarang tindakan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail (PN) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat berhubung langkah kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dalam menangani kewujudan perkhidmatan ‘coach cerai’ yang didakwa menormalisasikan perceraian dan mengancam institusi kekeluargaan.
Menurut Marhamah, penggunaan istilah serta pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan perlu dipantau dan dikawal bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Ia penting bagi mengelak kegusaran awam khususnya dalam menyalurkan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang sah.
“Kerajaan MADANI melalui JAKIM memandang serius isu ‘coach cerai’ yang tular baru-baru ini susulan perceraian pasangan selebriti yang menyentuh urusan pentadbiran hal Islam.
“Ia sepatutnya dirujuk dan ditangani oleh pihak berautoriti mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak,” katanya



