KUALA LUMPUR – Malaysia bertegas mempertahankan hubungan antarabangsa dengan Iran meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif 25 peratus kepada mana-mana negara yang mempunyai hubungan atau berdagang dengan Iran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak boleh nampak terlalu lemah namun tidak pula mengambil tindakan menjejaskan kepentingan negara.
“Soal perdagangan dengan Iran, sekarang ini hubungan kita masih kekal dengan Iran.
“Saya pun dua kali berhubungan dengan Iran. Ada Menteri-menteri juga dikirim ke Iran. Tapi dalam hal ini semua, kita kena gunakan kebijaksanaan dalam hubungan antarabangsa.
“Jangan kita nampak umpamanya terlalu lemah, tapi jangan kita umpamanya mengambil beberapa tindakan yang menjejaskan kepentingan negara.
“Tapi setakat hubungan dengan Iran, itu masih kita kekal dan pertahankan hak dan kedaulatan Iran, itu juga prinsip yang kita pertahankan,” tegas Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sementara itu, Anwar berkata, dalam isu Venezuela, Malaysia adalah di antara negara yang ambil satu pendirian yang paling tegas.
“Sebagai seorang yang diamanahkan, tentunya saya pun ada kebimbangannya. Bukan soal kebimbangan peribadi, tapi kebimbangan kepada negara.
“Sebab itu, jalur hubungan dengan Amerika Syarikat itu kita kekalkan, walaupun dipertikai oleh sesetengah pihak.
“Tapi pendirian kita umpamanya soal Gaza, termasuk soal Peace Initiative yang Committee sekarang ini dan Venezuela, satu-satu negara selain Iran tentunya yang mengambil satu pendirian yang paling tegas, maknanya tidak bersetuju kerana melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan mendesak Amerika Syarikat supaya bawa balik Presiden Maduro dan isterinya ke
Venezuela.
“Itu kenyataan kita yang agak jelas dan tegas. Apakah ia mungkin menimbulkan masalah? Ada. Jadi caranya ialah untuk mengekalkan hubungan baik bukan sahaja dengan Amerika, tapi dengan semua negara-negara yang lain.
“Soal Greenland, kita bersetuju dengan pendirian Eropah dan juga Denmark bahawa berunding, kita setuju hak masing-masing negara berunding. Tetapi untuk menakluki mana-mana negara, itu tentunya sebagai negara yang bebas dan berdaulat, kita tidak mungkin bersetuju. Jadi itu juga pendirian kita,” katanya.



