Muhyiddin Ikut Cara Najib, Demokrasi Sudah Tiada – Mahathir

- Advertisement -

SHAH ALAM – Usaha untuk mendaftarkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan terkubur dengan kuasa darurat yang dimiliki oleh kerajaan Perikatan Nasional pada ketika ini.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan berkuatkuasanya darurat, kuasa-kuasa Perdana Menteri tidak boleh dicabar.

“Muhyiddin mempunyai kuasa begitu luas. Demokrasi sudah tidak ada. Jadi saya anggap Pejuang tidak boleh berbuat apa-apa supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mendaftar Pejuang,” kata Dr Mahathir dalam blognya pada Rabu.

Terdahulu RoS menolak permohonan pendaftaran Pejuang sebagai sebuah parti politik berdaftar atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut membidas tindakan kerajaan yang telah menyalahgunakan kuasa menyebabkan parti itu tidak dapat didaftarkan.

Tambah Dr Mahathir, tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu saling tidak tumpah dengan apa yang dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila beliau membatalkan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ambang pilihan raya umum lalu.

“Ketika itu, Muhyiddin Presiden Bersatu dan amat marah. Beliau menganggapnya sebagai taktik kotor dan tidak adil yang dilakukan oleh kerajaan Najib.

“Namun oleh kerana sekarang beliau adalah pemimpin kerajaan dengan kuasa-kuasa darurat, Muhyiddin melakukan benda sama.

“Mungkinkah dengan meluluskan parti kami akan memburukkan lagi wabak atau kerajaan begitu sibuk menguruskan Covid-19 sehingga tidak punya masa untuk urusan lain.

“Atau inilah cara kerajaan memastikan pilihan raya tanpa lawan,” soal Dr Mahathir.

Tambah Dr Mahathir, Pejuang sudah mematuhi semua syarat yang dikehendaki oleh RoS namun gagal kerana campur tangan Menteri Dalam Negeri. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat