Anwar terkesan pemergian Sulaiman, pernah bersama di saat getir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akui amat terkesan dengan khabar duka pemergian bekas Presiden Majlis Peguam yang juga peguam ternama, Datuk Sulaiman Abdullah yang telah meningeal dunia pada petang Isnin.

Menurut Anwar Sulaiman tidak hanya seorang peguam, Allahyarham malah seorang sahabat yang akrab di mana beliau bersama saya dan keluarga di tahun-tahun lampau yang gelap dan getir.

“Saya terima khabar yang amat sedih bahawa mantan Presiden Majlis Peguam Datuk Sulaiman Abdullah telah meninggal dunia semalam.

“Beliau tidak hanya seorang peguam, malah juga seorang sahabat yang akrab di mana beliau bersama saya dan keluarga di tahun-tahun lampau yang gelap dan getir.

“Fikrah dan nurani beliau yang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa,” kata Anwar di Facebooknya pada Selasa.

Beliau juga menyatakan amat terkesan saat menerima berita ini tatkala masih di Tokyo untuk lawatan kerja.

“Mendoakan keluarganya diberi kecekalan yang ampuh selain diampun segala dosanya dan roh almarhum diberi tempat yang istimewa di sisi Allah SWT.

Sulaiman Abdullah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada petang Isnin pada usia 77 tahun.

Portal berita Malaysiakini melaporkan, pemergian Allahyarham disahkan oleh anak lelakinya pelakon dan penulis drama Huzir Sulaiman.

Menurut Huzir, walaupun Allahyarham bapanya menghadapi pelbagai cabaran kesihatan, fikirannya yang tajam dan cerdas tetap tidak terjejas.

Kata Huzir, bapanya juga masih mewakili anak guamnya dan berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa serta panel penasihat.

Sepanjang kerjaya sebagai peguam, Allahyarham Sulaiman terlibat dalam kes-kes terkenal termasuk menjadi peguambela perbicaraan berprofil tinggi termasuk kes liwat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Allahyarham Sulaiman juga merupakan peguam pendakwaan untuk kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak serta krisis Perlembagaan Perak susulan penyingkiran Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai setiausaha Badan Peguam Malaysia (1993-1995) dan Presiden Majlis Peguam (2000-2001).
Allahyarham Sulaiman kehilangan isterinya, Mehrun Siraj yang meninggal dunia pada 29 Jun 2021.

Jenazah Allahyarham Sulaiman disolatkan di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya sebelum dikebumikan selepas solat Zohor, semalam.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat