Konsert solo secara maya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjuangannya bukan tempoh yang singkat, sudah memasuki angka 21 tahun. Bagaimanapun, baru kini penyanyi bersuara lunak, Siti Nordiana, 36, mampu berdiri gah dan muncul dengan konsert solo.

Setiap penyanyi pasti mendambakan sebuah konsert sendiri, tidak terkecuali Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana. Impian selama ini terpendam dalam hati akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila penyanyi lagu Angkara itu menganjurkan sendiri konsert solo pertamanya pada 25 Disember ini.

Biarpun tidak dapat melakukan konsert secara normal atau fizikal kerana situasi pandemik COVID 19, penyanyi dan pelakon kelahiran Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan tetap berpuas hati apabila dapat menganjurkan konsert dalam talian selepas lebih dua dekad menjadi anak seni.

Konsert inisiatif syarikat miliknya, SND Soul Entertainment itu dilakukan sebagai tanda terima kasih buat peminat termasuk kelab peminatnya, Siti Nordiana FC.

Bagi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) itu, apa yang dimilikinya termasuk memperoleh peluang kedua hingga mengekalkan momentum populariti berkat sokongan dan kasih sayang peminat.

“Konsert ini cukup istimewa dan bermakna buat saya. Ia meraikan peminat yang tidak lokek dan berkira mengundi saya dalam pelbagai anugerah termasuklah ABPBH.

“Ini juga hadiah atas semangat peminat berjuang bersama saya selama ini. Diakui, saya terbatas kemunculan saya dalam persembahan atau siri jelajah seluruh negeri sejak pandemik COVID-19 menular.

“Kebanyakan peminat sanggup turun padang ke lokasi saya mengadakan persembahan. Jadi, sekarang ramai tidak dapat melihat saya depan mata. Namun, konsert maya ini saya mengajak peminat menonton tanpa mengenakan bayaran,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi Wanita Popular, ABPBH pada 2017 dan 2019 itu berkata, konsert itu akan dipancarkan menerusi Facebook Siti Nordiana, jam 9 malam.

“Ini adalah konsert solo saya pertama dan dilaksanakan seiring dengan norma baharu. Durasi konsert ini dalam sejam 30 minit. Saya akan menyampaikan 10 lagu popular. Saya akan berduet dengan seorang penyanyi lelaki menerusi lagu medley yang pernah dinyanyikan bersama arwah Achik.

“Cuma, saya masih belum dapat maklumkan siapa gerangan penyanyi ini. Semuanya, bergantung kepada penyanyi mana yang boleh berkolaborasi dengan saya pada tarikh ini,” katanya.

 

Siti Nordiana tetap berpuas hati menganjurkan konsert dalam talian biarpun tidak dapat melakukan konsert secara normal berikutan penularan pandemik COVID 19. - Foto Ihsan Blackpepperproduction
Siti Nordiana tetap berpuas hati menganjurkan konsert dalam talian biarpun tidak dapat melakukan konsert secara normal berikutan penularan pandemik COVID 19. – Foto Ihsan Blackpepperproduction

 

Mengenai persediaan menjelang konsert, Nana berkata, dia kini banyak mempersiapkan diri dengan mengutamakan aspek stamina dan vokal.

“Persediaan utama saya semestinya kepada nyanyian. Saya kena meningkatkan stamina dan membuat latihan vokal. Walaupun konsert secara maya, saya tak boleh abaikan perkara ini.

“Malah, saya cuba menganggap konsert ini bukan seperti konsert maya. Saya akan bayangkan seperti berada atas pentas dan di depan saya dipenuhi peminat,” katanya.

Nana berkata, konsert maya pertamanya itu direalisasikan dengan bantuan beberapa pihak.

“Saya sendiri mengeluarkan kos untuk memastikan konsert ini berjalan lancar. Saya bersyukur ada beberapa pihak yang bermurah hati membantu menjayakan konsert maya ini.

“Soal kos, ia tidak memerlukan kos tinggi berbanding konsert fizikal. Cuma daripada segi kepakaran teknikal, ia memerlukan komitmen tinggi.

“Saya mahu konsert ini dinikmati dengan mutu visual dan audio yang baik. Saya tak nak ambil mudah dan berusaha sehabis baik dalam memastikan kualiti konsert standard yang boleh menggembirakan peminat,” katanya.

 

Konsert solo secara maya dilakukan atas inisiatif syarikat miliknya, SND Soul Entertainment sebagai tanda terima kasih buat peminat termasuk kelab peminatnya, Siti Nordiana FC. - Foto Ihsan Blackpepperproduction
Konsert solo secara maya dilakukan atas inisiatif syarikat miliknya, SND Soul Entertainment sebagai tanda terima kasih buat peminat termasuk kelab peminatnya, Siti Nordiana FC. – Foto Ihsan Blackpepperproduction

 

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, perancangan menjadikan konsert sebagai satu yang pasti, sejak lebih sebulan lalu.

“Namun, jika ikut perancangan asal, saya nak buat konsert fizikal sudah lama. Tetapi, belum ada kesempatan untuk merealisasikan. Tak mengapalah, saya ambil kesempatan dan momen dilalui sekarang dengan menghadirkan konsert maya dahulu. Ia juga salah satu usaha untuk mengekang pandemik COVID-19 daripada terus menular apabila peminat menonton dari rumah sahaja.

“Jadi, saya harap peminat dapat nikmati konsert dari rumah atau di mana mana lokasi yang selamat. Tidak dinafikan, setiap kali membuat persembahan, perasaan gementar tetap bersarang di hati. Jadi, saya akan memastikan cukup ruang berehat dan memanaskan badan sebelum persembahan.

“Insya-Allah, saya akan cuba memastikan konsert ini sebagai satu momen yang boleh dikenang dan dihargai peminat. Saya akan ‘all out’,” katanya

Dalam perkembangan lain, Nana bakal muncul dengan single duet, tak lama lagi. Malah, video muzik single itu kali pertama mendapat sentuhannya sebagai pengarah, sambil dibantu tenaga kreatif berpengalaman lain.

“Siapa rakan duet masih dirahsiakan lagi. Saya buat nak buat kejutan. Seperti single Angkara yang turut menampilkan drama mini sebelum kehadiran video muzik sebenar, pendekatan sama dilakukan untuk lagu duet ini.

“Dua episod mini drama lagu duet ini disiarkan di laman YouTube, diikuti video muzik secara rasmi, hujung bulan ini. Saya mengambil pendekatan sama kerana banyak menerima permintaan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat