ACG BASE dilancar di LaLaport BBCC – Zon lepak baru untuk Kaki Anime, Komik & Gamers

Peminat anime, komik dan permainan di Malaysia kini mempunyai “rumah” baharu untuk dikunjungi setiap hari. Pada 19 November 2025, ACG BASE dilancarkan secara rasmi di LaLaport BBCC, menjadikannya hab harian pertama negara yang sepenuhnya didedikasikan kepada dunia ACG. Projek ini lahir daripada kerjasama antara LaLaport dan Zensekai Holding, yang melihat potensi besar dalam budaya pop Jepun yang semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Fenomena minat terhadap anime sebenarnya semakin ketara selepas tahun 2020. Ketika ramai menghabiskan masa di rumah sepanjang pandemik, tontonan anime, gaming dan penglibatan dalam budaya ACG melonjak dengan pesat. Menurut Rebecca Chua, Head of Growth and Partnership di Zensekai Holding, minat yang semakin meluas inilah yang membuka jalan kepada usaha membina ekosistem ACG yang lebih menyeluruh. Selepas kejayaan acara seperti MichiCon Expo di bawah syarikat lama mereka, Mimba Group, Zensekai ditubuhkan untuk melangkah lebih jauh bukan sekadar acara berkala, tetapi sebuah ekosistem ACG yang hidup sepanjang tahun.

Antara projek awal yang menjadi batu loncatan ialah Doko Koko Cafe, sebuah kafe bertema anime yang mengetengahkan kolaborasi dengan IP popular seperti Nijisanji, Haikyuu! dan My Hero Academia. Sambutan hangat terhadap kafe tersebut memberi keyakinan kepada Zensekai untuk membawa konsep itu ke skala lebih besar. Dengan sokongan penuh daripada LaLaport, mereka menyusun semula 13 lot kedai untuk membentuk ACG BASE  sebuah zon lengkap yang menempatkan 10 jenama di bawah satu ekosistem bersepadu.

Doko Koko Cafe kini berkembang lebih jauh sebagai sebahagian daripada Doko Space, iaitu kawasan yang bukan sahaja menawarkan makanan dan minuman bertema, tetapi juga ruang acara, bar mini, serta pop-up kolaborasi anime. Ruang ini direka untuk menjadi pusat komuniti anime, tempat di mana peminat boleh berkumpul, mengadakan fanmeet, sesi komuniti, atau sekadar lepak bersama rakan yang berkongsi minat sama. Setiap sudut ACG BASE diatur supaya pengunjung dapat merasakan pengalaman immersive, sambil bertukar-tukar idea, berkongsi koleksi, dan membina jaringan persahabatan dengan komuniti anime tempatan.

Di tingkat tiga pula, pengunjung akan menemui pelbagai barangan eksklusif dan original yang dibangunkan melalui kerjasama dengan pelesen IP antarabangsa. Banyak barangan yang dijual merupakan merchandise rasmi yang hanya boleh didapati di sini, menjadikannya destinasi wajib untuk pengumpul. Selain itu, ACG BASE turut menggabungkan beberapa kedai hobi seperti Hardoya untuk pemain TCG, MXDS untuk pengumpul figura dan model animasi, serta kedai Gunpla yang akan dibuka tidak lama lagi. Setiap kedai disediakan dengan ruang duduk dan tempat berkumpul, menjadikannya lokasi mesra komuniti di mana peminat boleh bermain kad, berbual, atau sekadar melepak selepas sekolah dan kerja.

Di bahagian luar pula, ACG BASE menyediakan ruang booth untuk pasar kreator mingguan. Artis tempatan, doujin, pereka aksesori dan pembuat kraftangan diberi peluang membuka booth pada kadar yang sangat berpatutan. Platform ini menjadi ruang penting bagi pencipta baharu untuk menonjolkan karya mereka kepada umum dan berinteraksi dengan komuniti anime. Aktiviti seperti ini bukan sahaja menyokong bakat tempatan, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan antara peminat, kreator, dan seluruh komuniti anime di Malaysia.

ACG BASE juga dirancang sebagai pusat acara dengan jadual mingguan yang merangkumi perjumpaan cosplay, pameran seni peminat, aktiviti hobi, malam bertema anime dan bahkan persembahan pentas kecil. Semua ini bertujuan menjadikan zon tersebut sebuah ruang yang hidup, di mana peminat boleh hadir setiap minggu, bertemu rakan baru, dan sentiasa menemukan sesuatu yang baharu dalam komuniti anime.

Walaupun baru memasuki fasa pertama, Zensekai sudah pun merancang pengembangan untuk fasa seterusnya, termasuk kedai gaming, mobile gaming merchandise, sebuah cyber café untuk acara e-sukan, dan kerjasama lebih besar dengan IP antarabangsa. Rebecca menjelaskan bahawa mereka mahu menyeimbangkan bahagian “A”, “C”, dan “G”, dengan memperkukuh sektor gaming yang akan menjadi fokus tambahan dalam masa terdekat.

Dengan sambutan awal yang positif, Zensekai turut merancang untuk membawa konsep ini ke negeri lain di Malaysia dan seterusnya ke negara Asia Tenggara seperti Singapura dan Indonesia. Mereka percaya bahawa konsep hab harian ACG ini mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi serantau bagi komuniti anime.

Rebecca turut mengakui sokongan padu daripada pengurusan LaLaport sebagai faktor besar di sebalik kejayaan projek ini. Tidak seperti kebanyakan pusat beli-belah yang meletakkan kedai anime secara berselerak, LaLaport membantu mengumpulkan kesemua kedai ACG di satu zon khusus, menjadikannya lebih tersusun dan mudah diakses peminat. Hasilnya ialah sebuah ruang di mana komuniti anime dapat berkembang, berinteraksi, dan berkongsi budaya pop Jepun dengan penuh semangat.

Dengan pelancarannya, ACG BASE kini menjadi destinasi utama peminat anime, komik dan permainan bukan sekadar tempat membeli belah, tetapi sebuah komuniti hidup yang menyatukan peminat dari semua peringkat umur. Inilah akhirnya ruang yang boleh dipanggil “rumah” oleh komuniti anime di Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat