KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk kepada tiga jaguh sukan yang pernah melakar nama Malaysia di pentas dunia.

Ketiga-tiga mereka merupakan pendaki 7 Benua dan Penjelajah Grand Slam Negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Abdul Rashid Mohd Sidek dan Cheah Soon Kit, bekas pemain Badminton negara yang memenangi Pingat Perak dan Gangsa sukan Olimpik Atlanta 1996.

Majlis kurnia itu berlangsung pagi Jumaat di Istana Negara sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan untuk tahun 2021 bagi sesi kedua.

Majlis kalungan pingat yang sepatutnya diadakan pada bulan Februari 2021 lalu, terpaksa ditunda kepada hari ini 19 November 2021 kerana negara ketika itu diletakkan dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akibat penularan wabak COVID-19.

Majlis istiadat pengurniaan darjah kebesaran dimulakan dengan penyampaian kalungan bintang dan pingat Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) kepada 9 penerima yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri R.Santara Kumar.

Turut menerima gelaran PMW adalah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta pelakon dan penyanyi Datuk Yusri Abdul Halim atau Yusri KRU, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Majlis istiadat pengurniaan pingat pagi tadi seramai 9 orang menerima Setia Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri, 40 orang menerima Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk, 26 penerima pingat Johan Mahkota Wilayah (J.M.W), 48 penerima pingat Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W), 19 penerima pingat Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W) dan 40 orang penerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W).