WAN JUNAIDI BERSEDIA UNTUK BEKERJA DENGAN LEBIH KUAT

- Advertisement -

KUCHING: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDEC), merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap dapat terus melakukan yang terbaik untuk Sarawak.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga percaya bahawa setiap ketentuan yang berlaku sudah tentu akan terjadi apabila masanya tiba.

Dalam wawancara eksklusif ini dengan New Sarawak Tribune, Menteri MEDEC tersebut berkongsi kisah karier politiknya dan bercakap mengenai Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

New Sarawak Tribune: YB Datuk Seri adalah ahli parlimen selama tujuh penggal. Perjalanan politik YB Datuk Seri telah bermula pertama kalinya apabila memenangi kerusi Parlimen pada tahun 1990. Pada masa itu, majoriti yang dimenangi adalah 2,665 undi. Pada tahun 1995, YB Datuk Seri telah menang tanpa bertanding pada tahun 1995 dan pada 1999, majoriti pada ketika itu adalah 5,214 undi. Sejak itu, pada pilihan raya berikutnya, YB Datuk Seri telah menang dengan majoriti besar, termasuk pada tahun 2018 dengan majoriti 19,485 undi. Boleh YB Datuk Seri ceritakan kepada kami perjalanan politik YB Datuk Seri.

Semangat dalam melasanakan tanggungjawab adalah penting. Tidak kira apa pekerjaan yang anda lakukan. Kadang-kadang, dalam hidup, tidak ada pilihan lain, jadi anda harus berpuas hati dengan apa yang anda sedang lakukan. Yang paling penting, anda mesti memberikan yang terbaik dalam setiap pekerjaan atau tanggungjawab yang telah diberikan. Dan saya bersedia untuk melangkah lebih jauh dan bekerja lebih masa untuk memastikan diri saya terus relevan dalam apa sahaja yang saya lakukan.

Sebelum menyertai politik, saya berkhidmat di dalam pasukan polis dan ketika saya diarahkan untuk bertugas di kawasan lain, mantan ADUN Demak Laut, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zain memperkenalkan saya kepada cawangan PBB Pemuda Satok dan meminta saya untuk menyertainya bagi menjalankan kerja kemasyarakatan. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga berada di cawangan tersebut. Saya menjadi sangat aktif tetapi hanya sebagai aktivis dan penganjur kerana saya gemar mengatur sesuatu. Saya juga aktif dalam pengakap, aktiviti Bulan Sabit Merah dan beberapa kelab kemasyarakatan. Saya juga antara orang yang membentuk Kelab Basikal Sarawak.

Semasa menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar, saya akan mengunjungi kampung-kampung dengan berjalan kaki atau menaiki kapal. Saya belajar untuk menyukai pekerjaan saya sebagai ahli politik. Dalam politik, kita tidak boleh memaksa orang mengikuti apa yang ingin kita lakukan. Sebaliknya kita mesti mendengar setiap keluhan mereka, mengambil tahu apa yang mereka mahukan dan berusaha membantu mereka.

Sebagai contoh, saya telah menubuhkan pusat khidmat sebelum perkara itu menjadi kebiasaan seperti sekarang.

Penyediaan pusat khidmat adalah sangat penting kerana sebagai aktivis politik, seharusnya saya mudah dihubungi dan dengan pusat khidmat ini rakyat boleh menelefon atau berjumpa saya secara terus.

Saya bermula dengan memberi bantuan kepada masjid dan surau, terutama pada bulan Ramadan tanpa menunggu mereka untuk memintanya. Saya juga membantu orang ramai semasa Tahun Baru Cina, Gawai Dayak dan Krismas. Itulah sebabnya saya menang tanpa bertanding pada tahun 1995.

Pada tahun 2004, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bertanya kepada saya adakah saya bersedia untuk pergi ke Santubong. Saya setuju dan begitulah cara saya dipindahkan dari kawasan Parlimen Batang Lupar ke kawasan Parlimen Santubong. Saya melakukan yang terbaik untuk berjumpa dengan kementerian masing-masing untuk meminta wang untuk membina kemudahan air dan elektrik. Saya juga memberi bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke universiti. Konsep saya adalah, berikan sahaja apa yang diperlukan oleh rakyat. Kita tidak perlu menyuruh mereka mengundi kita. Sudah pasti jika kita berkhidmat dengan baik, mereka akan menerima kita sebagai pemimpin.

YB Datuk Seri pernah bertugas sebagai Timbalan Speaker pada satu masa. Adakah YB Datuk Seri lebih gemar jika dinaikkan pangkat sebagai Speaker sebelum ditugaskan ke kementerian?

Saya tidak memilih untuk menjadi Timbalan Speaker. Sasaran saya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Hanya dengan menjadi menteri, anda dapat benar-benar membantu rakyat. Semasa saya berkhidmat di Kementerian Luar Negeri, saya membantu negara. Sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya dapat membantu masyarakat dengan mendorong mereka untuk menjadi usahawan berjaya.

Namun begitu, jika ditanya minat saya, mungkin saya lebih gemar untuk dilantik sebagai Speaker atau Timbalan Speaker kerana terdapat banyak masa di antara sesi dan anda boleh menggunakan masa itu untuk menulis. Saya suka menulis. Jadi, sekiranya saya menjadi Yang di-Pertua, saya boleh menggunakan masa untuk menulis artikel atau buku.

YB Datuk Seri telah berkhidmat di tiga kementerian sejak 2013 – Hal Ehwal Dalam Negeri, Sumber Asli dan Alam Sekitar, dan sekarang Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Di kementerian manakah yang paling mencabar dan mengapa? Pencapaian yang ingin YB Datuk Seri kongsikan?

Kementerian saya sekarang paling mencabar. Saya dilatih dalam bidang ini dan saya mengambil masa lima tahun untuk mendapatkan Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) saya. Saya betul-betul mahu mempraktikkan apa yang saya pelajari. Sayangnya, kerana pandemi Covid-19, saya tidak dapat melakukannya dengan begitu menyeluruh.

Semasa wabak ini, saya mengambil inisiatif untuk mengubah kementerian saya. Sekarang, cadangan saya mengenai transformasi koperasi telah diterima oleh Kabinet. Saya boleh menggunakan koperasi untuk mengubah kehidupan golongan B40. Ini adalah pekerjaan yang sangat sukar kerana kita perlu melatih masyarakat, terutama kaum Bumiputera, kerana kebanyakkan mereka masih belum lagi nampak manfaat untuk berniaga. Kita telah berusaha sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1970 tetapi sehingga hari ini, kita tidak berjaya.

Jadi, bagaimana caranya untuk kita mengubahnya? Saya percaya bahawa asas-asas Pendidikan Perniagaan mesti ada. Kaum Bumiputera mesti diajar menjalankan perniagaan sebagai alternatif untuk bekerja. Kami tidak menghalang sebarang bentuk perniagaan yang sedang dijalankan oleh orang Cina, tetapi kami memperbanyak bilangan orang yang menyertai dunia perniagaan. Inilah yang saya impikan untuk dicapai. Kerana inilah saya merasakan kementerian ini lebih mencabar daripada kementerian lain walaupun ia adalah kementerian kecil.

Sejajar dengan Dasar Koperasi Nasional, kementerian saya mensasarkan pendapatan sebanyak RM100 bilion untuk koperasi pada tahun 2030. Saya telah melakukan semua yang saya mampu untuk memastikan agenda ini tercapai. Setelah transformasi koperasi telah disetujui, kami akan melaksanakannya segera setelah pelancaran pada 11 November, jika keadaan mengizinkannya.

Saya kini sedang mengubah persatuan petani dan nelayan untuk menjadi koperasi. Ahli-ahli akan mendapat keuntungan daripada pembahagian dividen. Saya menggunakan koperasi untuk meningkatkan taraf hidup B40.

Menilai dari majoriti besar yang YB Datuk Seri perolehi dalam pilihan raya; YB Datuk Seri adalah tokoh yang popular di kalangan pengundi. Besar kemungkinan YB Datuk Seri akan bertanding sekali lagi pada pilihan raya akan datang. Pernahkah YB Datuk Seri memikirkan jalan untuk calon yang lebih muda?

Biarkan Presiden PBB yang membuat keputusan tersebut. Saya adalah ahli parti yang setia. Saya tidak pernah menentang presiden. Saya menurut setiap keputusan yang dibuat oleh beliau. Tetapi tentu saja, saya tahu akan diri dan kemampuan saya.

Jika anda melihat kawasan parlimen Santubong, ia terbentang dari Telok Melano hingga ke Kampung Tiang Api di Demak Laut, yang terletak dekat dengan sempadan antara Samarahan dan Kuching. Ia adalah kawasan yang besar untuk kita menabur khidmat. Apabila anda mencapai usia tertentu, mungkin tidak mudah dikendalikan. Saya rasa saya dapat berkhidmat dengan lebih baik di kawasan DUN kerana kawasannya lebih kecil.

Setelah itu, saya akan menyerahkannya kepada kepemimpinan tertinggi untuk membuat keputusan. Saya akan menyerahkan kepada presiden parti untuk memutuskan sama ada saya harus berkhidmat di kerusi parlimen atau negeri. Bagi saya, yang penting adalah berkhidmat untuk rakyat. Saya sangat seronok melakukannya.

Sekiranya anda dicalonkan sekali lagi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apakah rancangan YB Datuk Seri untuk kawasan yang diwakili dan Negeri Sarawak?

Kawasan Parlimen Santubong tidak lagi dianggap sebagai kawasan luar bandar. Ia telah menjadi kawasan pinggir bandar. Kerajaan Sarawak telah menetapkan seluruh kawasan Santubong sebagai kawasan pelancongan.

Oleh itu, satu-satunya perkara yang boleh dilakukan ialah menarik pelabur yang akan menubuhkan operasi pelancongan besar. Sekiranya kita dapat membawa pelaburan mega seperti hotel ternama atau pengendali resort ke kawasan seperti Sempadi, Telok Melano, dan jika kita dapat membina sesuatu yang besar di sana, itu akan menarik bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pelancong dan mewujudkan peluang perniagaan untuk penduduk tempatan.

Sebagai contoh, jika anda pergi memancing di daerah Telok Melano, Sempadi atau Sematan, anda dapat mendaratkan hasil tangkapan ikan yang banyak. Kita dapat mempromosikan sukan memancing antarabangsa di kawasan-kawasan ini untuk menarik pelancong, tetapi kemudahannya mesti ada terlebih dahulu. Pertama, pelancong antarabangsa datang dan kemudian, pelancong mewah (high-end), diikuti dengan penubuhan pusat membeli-belah dan banyak lagi.

Demak Laut adalah kawasan pertanian. Kerajaan Sarawak mempromosikan industri berasaskan makanan di sana. Inisiatif kerajaan negeri sudah ada. Satu-satunya perkara yang perlu kita lakukan pada ketika ini ialah menarik pelabur-pelabur yang mempunyai keupayaan tinggi.

Beberapa penyandang jawatan mungkin dilihat telah hilang sejumlah besar pengundi. Bagaimana YB Datuk Seri akan meyakinkan parti anda bahawa para pengundi masih memerlukan para penyandang ini?

Saya rasa Abang Johari amat prihatin dengan keadaan semasa. Dia tahu kawasan pilihan raya yang mungkin mempunyai masalah kecil dengan penyandang.

Terpulang kepada presiden parti dan kepemimpinan tertinggi untuk memutuskan sama ada penyandangnya harus dikekalkan atau tidak. Tetapi sekali lagi, para penyandang jawatan tidak seharusnya terlalu selesa dengan keadaan mereka. Sebagai ahli politik, cara terbaik adalah jangan sesekali melupakan mereka yang menyokong anda. Saya lebih suka mengetahui yang sebenarnya. Sekiranya orang-orang tidak lagi mahu saya tinggal, maka saya akan pergi.

Apa kekuatan kepemimpinan Abang Johari sebagai presiden dan Ketua Menteri PBB dalam membawa Sarawak maju?

Semua Ketua Menteri mempunyai kekuatan masing-masing. Abang Johari lebih mengutamakan masyarakat. Dia memberi tumpuan kepada pemangunan infrastruktur seperti jalan raya. Dia mengembangkan kawasan pesisir dengan membina jambatan dan jaringan lain. Oleh itu, perancangan rapi untuk membina jalan raya di Sarawak ini adalah di bawah kepemimpinan Abang Johari. Kedua, dia memulakan sistem jaringan air di negeri ini. Bagi saya, itu adalah antara rancangan berpandangan jauh agar penduduk di kawasan pedalaman dapat menikmati bekalan air bersih. Ini saya rasakan satu perancangan yang hebat.

Selain itu, Abang Johari turut memberi tumpuan kepada pertanian moden dalam memajukan industri agrikultur. Sarawak mempunyai tanah yang luas dan sebahagian besarnya belum diusahakan. Ketua menteri kita mahu Sarawak menjadi pembekal utama makanan Malaysia dan juga seluruh kawasan di rantau ini. Semasa dia menubuhkan Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (Statos), banyak orang mengkritik tindakan itu. Tetapi Singapura sekarang mengimport ikan Terung Asam dan Tilapia kami dan sekarang ia juga menginginkan ikan Patin kami. Pertanian adalah industri besar, dan masyarakat di luar bandar tidak akan lagi mengeluh kerana tidak mempunyai pekerjaan. Sebagai balasannya, industri ini akan memberi mereka pendapatan yang lumayan. Selanjutnya, kita akan menjadi pengeksport makanan utama dan bukannya mengimport makanan dari luar.

Kemudian, Abang Johari memulakan agenda ekonomi digital yang telah dimulakan oleh China suatu ketika dahulu. Jalan raya, air, elektrik dan teknologi digital akan menarik minat pelabur dan memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk berniaga. Dengan itu, masyarakat tidak perlu lagi pergi ke bandar utama untuk berniaga.

Banyak orang mengkritik inisiatif ekonomi hidrogen ketua menteri. Saya berada dalam kumpulan WhatsApp dengan profesor dan pensyarah, dan mereka secara khusus memuji Sarawak sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai pandangan jauh untuk memasuki industri hidrogen. Hidrogen adalah teknologi hijau dan bebas pelepasan yang menggunakan air untuk menghasilkan tenaga. Oleh itu, kami jauh maju dalam dasar dan pelaksanaan kami. Ini bukan sekadar omong kosong. Pelabur sudah menunjukkan minat dan mereka ingin menghasilkan hidrogen di sini. Sekiranya mereka menjual hidrogen kembali ke negara mereka, Sarawak akan mengenakan cukai dan sekali lagi, negeri ini memperoleh lebih banyak wang.

Rancangan Abang Johari adalah holistik dan inklusif. Dia mempunyai pengalaman lebih dari 40 tahun dalam pentadbiran negara dan berfikiran maju. Dia adalah pemimpin yang tepat untuk pekerjaan itu. Matlamatnya adalah untuk menstabilkan negeri, menarik pelabur dan melaksanakan dasar agar Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Menurut YB Datuk Seri apakah cabaran utama yang dihadapi PBB dan bagaimana parti ini harus menangani cabaran tersebut?

Di dalam parti ini sendiri, tidak ada cabaran. Semua perkara dilakukan dengan lancar. Saya rasa tradisi yang diletakan oleh Pehin Sri Abdul Taib benar-benar menyumbang kepada asas parti yang kuat. Lihatlah kepimpinan parti. Kami tidak pernah bertengkar sesama kami; kami menyelesaikan sebarang masalah secara dalaman. Oleh itu, selagi budaya kita berterusan seperti ini, kita akan melakukannya dengan baik.

Tetapi, tentunya cabaran datang dari media sosial. Pemimpin kita mesti sentiasa peka dan memberitahu rakyat bahawa apa yang disiarkan di media sosial kebanyakkannya mungkin tidak benar.

Sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan esok, sejauh mana anda yakin bahawa GPS akan dapat memperoleh kemenangan besar?

Kami sudah bersedia. Sekiranya rakyat menghargai pembangunan yang telah kita laksanakan, jangan membuat kesalahan yang sama memilih parti yang tidak pernah mempunyai pengalaman. Mentadbir sesebuah negeri bukan seperti menjalankan operasi syarikat. Bagi saya, masyarakat mesti memilih pasukan yang tepat. Tidak ada alternatif lain di sini.

Ketua Menteri telah mengingatkan kita untuk bersedia menghadapi pilihan raya. Kami tidak mempunyai pilihan selain mengadakan pilihan raya. Kita dikawal oleh perlembagaan. Sekarang persoalannya ialah bilakah Sarawak harus mengadakan pilihan raya negeri. Pada bulan Disember kita merayakan Krismas, kita tidak dapat mengadakan pilihan raya pada Hari Krismas, kita tidak dapat mengadakannya pada Tahun Baru Cina, bulan puasa pada bulan April dan semasa Gawai Dayak. Oleh itu, Abang Johari mesti sangat berhati-hati dalam memilih tarikhnya agar tidak bertembung dengan semua tarikh penting ini. Itulah sebabnya tidak mudah bagi Abang Johari untuk memilih tarikhnya. Menjelang bulan Jun, dia mesti membubarkan Dewan Undangan Negeri, jika tidak, ia akan terbubar secara automatik.

GPS dijangka akan kembali mentadbir selepas Pilihan Raya Negeri ke-12. Tetapi penganalisis politik tertanya-tanya adakah majoriti dua pertiga dapat dicapai kali ini. Adakah YB Datuk Seri fikir GPS akan mendapat keputusan lebih baik?

Ya. Itulah sebabnya para pemimpin GPS harus turun padang untuk memberitahu rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan dan projek-projek pembangunan yang telah dilaksanakan. Contohnya, Kapit kini dihubungkan dengan jalan raya. Tidak ada yang dapat mengatakan bahawa mereka tidak mendapat manfaat daripada pembangunan selama ini. Hanya orang yang berpengalaman yang mampu menguruskan negeri ini.

Tetapi yang penting, parti yang mempunyai kaitan dengan parti di Tanah Melayu seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak tahu bagaimana untuk mentadbir Negeri Sarawak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat