Xi Jinping gesa anggota ekonomi APEC rebut peluang, terajui pertumbuhan global

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesemua 21 anggota ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) disaran agar mengikut trend pasaran, merebut peluang yang diwujudkan oleh globalisasi ekonomi dan integrasi ekonomi serantau, dan seterusnya menjadi pelopor pertumbuhan global.

Dalam ucaptama pada Dialog CEO  APEC 2020, Presiden China Xi Jinping menggesa anggota ekonomi untuk bergerak ke arah integrasi ekonomi serantau yang lebih rapat serta mempercepat pertumbuhan yang didorong oleh inovasi, meningkatkan kesalinghubungan serantau dan merealisasikan pembangunan yang inklusif dan lestari.

Xi berkata komuniti perniagaan memerlukan visi yang lebih luas, ketahanan yang lebih besar dan keusahawanan yang lebih kuat serta pada masa sama, anggota ekonomi harus menyumbang dalam mempromosikan keterbukaan dan pembangunan.

“Anda (anggota ekonomi) boleh terus berusaha memajukan liberalisasi dan fasilitasi perdagangan dan pelaburan serta memastikan keselamatan dan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan di wilayah kita, dan usaha anda membolehkan Asia-Pasifik menerajui dalam mencapai pemulihan ekonomi dan kemakmuran.

“Saya harap anda akan meneroka pertumbuhan yang didorong oleh inovasi. Anda mungkin mengambil langkah berani untuk meneruskan inovasi organisasi, teknologi dan pasaran yang akan menjadikan Asia-Pasifik landasan yang subur untuk penemuan saintifik dan penentu kepada inovasi.

“Saya harap anda akan menjadi rakan kongsi untuk mencapai kerjasama yang memberi faedah kepada semua. Anda dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi kerjasama, dan menjadikan bahagian kerjasama lebih besar untuk dikongsi bersama. Saya harap anda akan secara aktif memenuhi tanggungjawab sosial masing-masing.

“Anda semua mungkin berperanan aktif dalam memerangi COVID-19 antarabangsa dan melakukan lebih banyak perkara untuk membantu kumpulan yang kurang bernasib baik untuk menambah momentum kepada pembangunan global,” katanya.

Sementara itu, Xi turut menegaskan bahawa China tidak berhenti dalam usaha membuka ekonominya di tengah-tengah ketidakstabilan dan ketidakpastian ekonomi dunia tahun ini.

“Keterbukaan membolehkan sebuah negara bergerak maju sementara pengasingan menahan perkembangannya. Dalam dunia hari ini yang mana globalisasi ekonomi telah menjadi trend yang tidak dapat kembali kepada keadaan asal, tiada negara dapat mengembangkan dirinya dengan mengamalkan dasar tertutup. China sudah terlalu berintegrasi dengan ekonomi global dan sistem antarabangsa Kami tidak akan berpaling atau melawan arus sejarah dengan membentuk kitaran kecil untuk menghalang kemasukan luar.

Acara Dialog CEO APEC 2020 bertemakan “APEC Re-Imagined: Priorities in the Aftermath of COVID-19”, dihoskan secara maya oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC 2020.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat