Faktor luar tekan ringgit ke paras terendah sejak 1998

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kejatuhan nilai ringgit ke paras paling rendah sejak 1998 adalah disebabkan faktor luaran termasuk kebimbangan terhadap konflik yang sedang berlaku di Asia Barat sekarang.

Prestasi ringgit itu juga sejajar dengan penurunan mata wang Asia lain di tengah-tengah jangkaan bahawa bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi dalam masa lebih lama, menyebabkan pulangan Perbendaharaan AS mencecah paras tertinggi dalam 16 tahun, sejak 1997.

Rupiah hari ini menerajui kejatuhan mata wang Asia apabila susut ke paras terendah dalam tempoh tiga setengah tahun, manakala peso dan baht masing-masing jatuh 0.2 peratus dan 0.1 peratus.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tindakan negara maju, AS dan Eropah yang memberi sokongan yang penuh terhadap Israel berikutan krisis berkenaan juga telah memberi impak kepada mata wang serantau, dengan ringgit turut tidak terkecuali.

“Perkara ini dijangka berpanjangan serta berpotensi untuk memberi kesan terhadap harga komoditi seperti minyak mentah dunia. Perkara ini juga dijangka akan memberi kesan kepada inflasi dan bagaimana bank pusat akan bertindak sekiranya inflasi dijangka kekal tinggi.

“Justeru, perkara ini dilihat telah memberi tekanan kepada mata wang serantau termasuk ringgit,” katanya lapor BH.

Prestasi ringgit turut berlaku di tengah-tengah penurunan eksport selama tujuh bulan berturut-turut, sebahagiannya disebabkan oleh kelembapan yang berlaku di China, rakan dagangan terbesar rantau ini.

Ringgit hari ini susut 0.3 peratus kepada serendah RM4.7635 dan menjadikannya mata wang kedua paling lemah di Asia selepas yen.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain kecuali pound Britain, menyaksikan ia mengukuh kepada 5.7809/7852 daripada 5.7869/7917.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 5.0181/0218 daripada 5.0140/0182 dan rendah berbanding yen pada 3.1794/1820 daripada 3.1685/1714 semalam.

Berbanding mata wang Asia yang lain, ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah.

Nilai mata wang tempatan susut berbanding baht Thai kepada 13.0757/0907 daripada 13.0738/0914 dan lemah berbanding rupiah Indonesia pada 301.5/302.0 daripada 301.2/301.5 sebelumnya.

Ia turut merosot berbanding dolar Singapura pada 3.4669/469 daripada 3.4649/4681 tetapi nilai ringgit meningkat berbanding peso Filipina pada 8.36/8.39 daripada 8.37/8.38 semalam.

Mohd Afzanizam berkata, berdasarkan prestasi dari awal Oktober sehingga kini, mata rupiah merosot sebanyak 2.44 peratus berbanding dolar AS diikuti ringgit (-1.41 peratus), won (-0.67 peratus), dolar Singapura (-0.52 peratus), peso (-0.47 peratus), yuan (-0.44 peratus) dan yen (-0.30 peratus).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat