‘Saya tak kisahlah’

- Advertisement -

NAMA penyanyi, Tyka Zatyka, 25, mungkin masih asing dalam persada seni tempatan namun, penyanyi kelahiran Johor Bahru ini boleh dikatakan cukup bertuah tahun ini.

Tyka atau nama sebenarnya Noor Amierazatyka Ayob ini diberi peluang menyanyikan semula lagu animasi popular Upin & Ipin terbitan Les Copaque Production (LCP), Goyang Upin & Ipin.

Lagu ciptaan Arif Asyraf Munap dan lirik Ahmad Zakri Tomirin itu turut menampilkan video muzik yang dimuat naik ke saluran YouTube rasmi LCP sejak 3 Ogos lalu mencecah lebih 65 juta tontonan.

Seperti mana animasi itu yang turut diminati di negara jiran, Indonesia, pemilihan Tyka juga dilihat tepat. Ini kerana dia sendiri mempunyai kelompok peminat di sana selepas memenangi tempat keempat pada pertandingan D’Academy Asia (DAA) Indonesia musim keempat pada 2018.

Bagi projek usahasama Nova Music dan LCP itu, tajuk asal lagu itu yang dinyanyikan Tyka ditukar kepada Goyang Sama Sama.

Menurut Tyka, dia tidak menjangka mendapat tawaran itu selain menyifatkan ia adalah rezeki.

“Semuanya terjadi begitu pantas. Saya menerima mesej daripada pihak Nova Music beberapa bulan lalu. Kebetulan ketika itu saya berada di Kuala Lumpur kerana ada persembahan nyanyian bersama Noraniza Idris.

“Saya diberitahu ada lagu animasi Upin & Ipin berentak dangdut yang mahu dinyanyikan. Saya difahamkan ada beberapa nama penyanyi dicadangkan, tapi rezeki berpihak kepada saya. Satu penghormatan untuk artis baru seperti saya atas peluang manis ini.

“Rakaman lagu dibuat pada 12 Ogos. Kebetulan sejak menyertai DAA, saya terdedah dengan lagu dangdut. Jadi, mungkin juga itu antara lesen besar tuah memihak kepada saya,” katanya.

Tyka berkata, irama dangdut kian sebati dalam dirinya dan mahu terus diberi peluang untuk berkarya dalam bidang muzik tempatan.

“Sejujurnya, menyanyikan lagu dandgut sudah sebati dalam diri. Kemampuan saya menyanyikan lenggok irama Malaysia sejak kecil mungkin bonus untuk menguasai genre muzik lain.

“Bukan mahu mendabik dada, tapi saya bersyukur dapat menyanyi pelbagai irama sekali gus membuktikan kemampuan diri ini bersifat versatil.

“Pada persaingan DAA, irama dangdut yang memperkenalkan nama saya di sana. Mungkin juga irama ini akan beri tuah untuk saya menyinar selepas ini. Saya tak kisah jika ada yang menganggap saya menumpang populariti Upin & Ipin. Semuanya itu soal rezeki,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik ini mula menunjukkan kebolehan menyanyi sejak usia empat tahun. Lagu irama Malaysia, Seri Mersing menjadi karya pertama dinyanyikannya sewaktu kecil.

“Masa itu ibu bapa sudah mula nampak kecenderungan bakat menyanyi saya ketika di sekolah rendah. Saya sudah mula menyanyi pada majlis orang kahwin. Istilah malu memang tak ada dalam diri. Saya juga beranikan diri masuk pertandingan karaoke. Pantang dapat mikrofon mulalah saya nak menyanyi.

“Ketika di sekolah menengah pun saya banyak masuk pertandingan menyanyi. Pertandingan Seiras Seirama yang disiarkan di Astro pun saya masuk. Saya pili

h Misha Omar sebagai ikon. Saya sanggup memotong rambut pendek seperti Misha, dan nyanyi angkat kaki yang jadi ‘trend’ Misha pun saya boleh buat. Walaupun layak ke peringkat akhir, namun tak jadi juara.

“Selepas itu, saya meneroka banyak peluang menyertai pertandingan lain seperti Bintang Klasik RTM, 3 Juara di TV3 dan DAA 4. Cuma tuah saya tak ada untuk bergelar juara. Ibu saya memberikan semangat untuk saya terus melakar kejayaan,” katanya yang pernah muncul dengan single Wangikanlah Hatimu duet dengan Noraniza Idris dan single Cinta Happy.

Sementara itu, komposer dan Pengarah A&R Nova Music, Eddie Hamid optimis dengan pemilihan Tyka dalam projek itu.

“Saya percaya gabungan lagu animasi Upin & Ipin dan Tyka ini seperti serampang dua mata kerana kedua jenama ini ada pengaruh di Indonesia

” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat