865 Kes Baru Covid, Sabah Catat Jangkitan Tertinggi 643 Kes – KKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan 865 kes baharu positif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan kes positif Covid-19 seluruh negara setakat ini berjumlah 21,363 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 7,456 kes dan pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 154 kes hari ini ialah daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Tembok dan termasuk empat kes saringan tahanan Penjara Tapah dan kes ini terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

“Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 643 kes dan lebih banyak ujian makmal dapat dijalankan di negeri berkenaan dan dihantar ke Semenanjung,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

Katanya, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang membabitkan tiga warganegara dan empat bukan warganegara.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 858 kes penularan di dalam negara, 767 kes adalah warganegara Malaysia dan 91 kes adalah bukan warganegara.

Beliau berkata, lima kes yang direkodkan adalah pesakit yang pulang dari Sabah dan menjadikan jumlah kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 448 kes.

“Sehingga kini, terdapat 99 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) terdapat pertambahan tiga kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 190 kes,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang meninggal dunia hari ini ialah seorang lelaki berusia 85 tahun di Hospital Tawau, lelaki berusia 52 tahun di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan seorang wanita berusia 70 tahun di Hospital Duchess of Kent di Sandakan. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat