KUALA LUMPUR, – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang kini menyertai PAS, Isham Jalil mempersoalkan pendirian Peguam Negara yang dilaporkan menganggap Proklamasi Penurunan Takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai tidak sah.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya mencampuri urusan adat dan perlembagaan Negeri Sembilan yang berada dalam bidang kuasa institusi serta undang-undang negeri berkenaan.
“Peguam Negara kata Proklamasi Penurunan Takhta tidak sah. Saya ingin bertanya kepada Peguam Negara, sejak bila Kerajaan Persekutuan mahu mencampuri urusan adat negeri?” katanya menerusi satu hantaran hari ini.
Isham turut mengaitkan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
Katanya, AGC merupakan sebuah jabatan di bawah cabang eksekutif Kerajaan Persekutuan yang diketuai Perdana Menteri.
Beliau mendakwa campur tangan PH dalam pertikaian adat dan takhta Negeri Sembilan menjadi antara faktor gabungan itu mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Negeri bulan lalu.
Isham turut merujuk kekalahan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, di kerusi Dewan Undangan Negeri Linggi sebagai gambaran penolakan pengundi terhadap pendirian tersebut.
“Perdana Menteri kini daripada PH. PH kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan bulan lalu kerana mereka mencampuri urusan adat ini. Menteri Besar Amin juga kalah teruk di Linggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran isu berkenaan boleh membawa kesan politik lebih besar kepada Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Mungkin untuk menyelesaikan isu adat di Negeri Sembilan ini, rakyat perlu menukar Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri pula dalam Pilihan Raya Umum nanti,” katanya.
Dalam hantaran sama, Isham turut meminta Peguam Negara mendapatkan penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berhubung perkara itu.
Beliau mendakwa menerima maklumat bahawa Azalina turut berada di lokasi ketika Menteri Besar menandatangani surat cara Proklamasi berkenaan.
“Sudah bertanya kepada Azalina? Beliau Menteri Undang-Undang. Dengar khabar beliau juga berada di situ ketika Menteri Besar menandatanganinya. Cuba tanya beliau,” katanya.
Bagaimanapun, Isham tidak mengemukakan bukti lanjut mengenai dakwaan kehadiran Azalina ketika surat cara berkenaan ditandatangani.
Proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu didakwa telah ditandatangani oleh Menteri Besar pada 3 Ogos lalu bagi melengkapkan keputusan Undang Yang Empat berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.


