KUALA LUMPUR – Malaysia bersetuju secara prinsip untuk mengecualikan beberapa produk pertanian dari Palestin daripada dikenakan duti kastam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan, Malaysia berdiri teguh bersama Palestin dalam usaha membangunkan semula ekonominya dan meletakkan asas kepada pemulihan sosioekonomi.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan Palestin bagi merealisasikan manfaat bersama untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya ketika majlis pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Malaysia dan Palestin bagi kerjasama perdagangan dan ekonomi, lapor Bernama pada Jumaat.
Tengku Zafrul berkata MOU itu menjadi bukti visi bersama Malaysia dan Palestin bagi mewujudkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang mampan, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi, seperti industri halal, ekonomi digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob mewakili Malaysia dalam pertukaran MOU tersebut bersama Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.



