KUALA LUMPUR – Ketidakfahaman penduduk, ketiadaan tadbir urus dan perancangan strategik yang teliti, disifatkan antara punca polemik pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, isu perancangan bandar dan guna tanah bukan perkara baharu, namun kelemahan pendekatan semasa menyebabkan rakyat akhirnya menjadi mangsa.
“Dalam kes Kampung Sungai Baru, saya tidak anggap ia isu besar, tetapi jelas perancangannya tidak begitu teliti.
“Penduduk sendiri mungkin tidak faham risiko apabila bersetuju tanah mereka dibangunkan.
“Apabila tiada kefahaman, ketiadaan tadbir urus dan ketiadaan perancangan strategi, akhirnya rakyat yang menderita,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIAR) Peringkat Kebangsaan Ke-4, lapor BH di Sepang pada Jumaat.
Beliau mengulas isu Kampung Sungai Baru ketika menyentuh mengenai kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung ‘Risiko Rasuah Dalam Menentukan Penggunaan Guna Tanah Dalam Penyediaan Rancangan Tempatan’ pada persidangan berkenaan.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan memberikan keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.
Baginda tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
Mengulas lanjut, Azam berkata, akta sedia ada yang wujud begitu lama seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 juga perlu dikaji semula supaya selari dengan keperluan pembangunan masa kini.
Katanya, penggunaan teknologi baharu, sistem lebih bersistematik serta integrasi kecerdasan buatan (AI) perlu diberi keutamaan supaya polemik berkaitan pembangunan tanah tidak berulang.
“Ramai penduduk hanya nampak pampasan atau tawaran wang, tetapi tidak diberi panduan mencukupi tentang kesan jangka panjang. Inilah yang berlaku apabila tiada perancangan strategik yang jelas,” katanya.



