KLUANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara sinis memberitahu beliau tidak mengenali Datuk Seri Azmin Ali.
Presiden Umno itu berkata demikian sebagai reaksi bahawa beliau enggan melayani cabaran Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu.
Di mana Azmin menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor jika Barisan Nasional (BN) menang di DUN Mahkota.
“Saya tak kenal dia lah,” kata Zahid ringkas.
Reaksi Zahid itu menyusul terkait cabaran yang dikemuka Azmin kononnya jika BN menang di Mahkota adakah Johor akan membentuk Kerajaan Perpaduan.
Semalam, PN mencabar Menteri Besar Johor untuk mengumumkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September ini.
Azmin menggesa, Onn Hafiz perlu berani dan telus dalam perkara tersebut kerana sehingga kini tiada Kerajaan Perpaduan di Johor.
“Kena ‘transparent’ apabila bercakap tentang perpaduan (antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Johor), kamu mesti Ikhlas dalam hubungan (kerjasama politik).
“Tiada Kerajaan Perpaduan di Johor walaupun Pakatan Harapan (PH) (terdiri daripada) Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong UMNO selama dua tahun.
“Mereka tidak dapat apa-apa, di mana semangat Kerajaan Perpaduan di Johor? Saya cabar Menteri Besar sekiranya dapat kekalkan kerusi DUN Mahkota, adakah mereka akan bentuk Kerajaaan Perpaduan,” ujarnya.