KLUANG – Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perikatan Nasional (PN) untuk memuktamadkan masa depan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sama ada ingin menerima, menolak ataupun berunding semula.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, MoU berkenaan masih berada pada tahap draf justeru, ia terbuka untuk diputuskan oleh pembangkang.
“Saya fikir Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof sudah pun membentangkan (keseluruhan kandungan MoU) semua sekali.
“Jadi ianya terserah kepada pembangkang sama ada untuk menerima, ataupun nak berunding ataupun menolak sebab itu adalah draf, masih lagi terbukalah… pada hemat saya.
“Tetapi masa kami jadi pembangkang dahulu selama 22 bulan, kami hanya dapat RM100 ribu saja setahun.” katanya ketika ditemui media di Kem Mahkota pada Khamis.
Perkembangan terkini, Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan memaklumkan, pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang.
Beliau malah memberitahu, draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan.
Pun begitu, Fadillah berkata, sehingga hari ini, pihaknya belum lagi dihubungi pihak pembangkang bagi meneruskan perbincangan berkaitan MoU itu.