Peguam Ibu Zara minta tangguh pendakwaan 5 remaja, harap pertuduhan kes lebih berat

KUALA LUMPUR – Barisan peguam yang mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berharap pertuduhan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan memandangkan hukuman di bawah seksyen itu lebih berat iaitu menetapkan 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Dalam kenyataan bersama, pasukan peguam itu memohon agar Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu, ini susulan lima remaja yang terkait kematian Zara Qairina hanya akan didakwa di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

“Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

“Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara dapat menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu.

“Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika,” gesa pasukan peguam berkenaan dalam kenyataan pada Selasa.

Namun kata mereka sekiranya keterangan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja di atas bagi kesalahan yang lebih berat dari seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, mereka merayu agar mereka didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu.

“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Kesalahan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar double jeopardy yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi tujuan di atas, kami telah menulis surat kepada Peguam Negara pada pagi ini dan telah dihantar melalui emel, bertarikh 19 Ogos 2025,” maklum pasukan peguam itu.

Barisan peguam itu terdiri daripada Hamid Ismail; Shahlan Jufri; Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh
dan Farrah binti Nasser

Semalam Peguam Negara memberitahu, seramai lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, pada Rabu ini, berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menurut Dusuki, semua remaja terbabit berusia bawah 18 tahun akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.

“Seramai lima orang akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, kerana kesalahan berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina.

“Mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya meneliti kertas siasatan polis dan membuat keputusan menuduh beberapa individu yang terbabit dalam kes buli itu berdasarkan keterangan yang ada.

Kenyataan itu berkata, keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat kerana ia tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang akan dijalankan di mahkamah.

AGC menegaskan walaupun pertuduhan kesalahan buli dilakukan, siasatan polis berhubung kematian Zara Qairina tetap diteruskan termasuk prosiding inkues yang sedang berjalan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat