KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa orang ramai agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang didakwa berhubung kematian Zara Qairina Mahathir bagi mengelakkan stigma berterusan terhadap mereka.
Suhakam berkata, remaja terbabit berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat guaman serta layanan adil sepanjang prosiding.
Katanya, identiti mereka tidak boleh didedahkan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui penyiaran nama, gambar, sekolah atau maklumat lain yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka.
“Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi penerbitan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah dengan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Mahkamah bagi Kanak-Kanak juga merupakan mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 akta sama dan hanya pihak terlibat secara langsung dibenarkan hadir. Justeru, privasi kanak-kanak tersebut mesti dihormati,” kata Suhakam dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, suruhanjaya berkenaan turut mengingatkan bahawa perbuatan membuli sama ada di sekolah atau di media sosial tidak boleh diterima sama sekali.
Jelasnya, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok turut digesa supaya mengemas kini dasar dalaman serta piawaian komuniti mereka bagi mengesan dan memadam kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Sebarang kandungan yang disiarkan dan berpotensi mendedahkan mendedahkan identiti remaja berkenaan hanya akan menambahkan lagi mudarat kepada mereka sama ada secara tidak sengaja atau dengan niat jahat.
“Menunggu aduan untuk tindakan padam (takedown) mungkin menyebabkan kandungan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya tersebar lebih luas sekali gus menggagalkan tujuan perlindungan undang-undang tersebut.
“Kegagalan bertindak boleh mengundang mudarat tambahan kepada mereka dan mungkin dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang,” kata Suhakam lagi.
Ujar Suhakam, proses keadilan perlu dilaksanakan selaras dengan hak kanak-kanak dan prinsip kedaulatan undang-undang.



