KUALA LUMPUR – Masih ada ruang dan peluang untuk kita bermuhasabah dan berikhtiar dalam mencari solusi terbaik agar sosioekonomi kaum Bumiputera menjadi lebih maju dan makmur.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini dapat dilakukan melalui reformasi struktur ekonomi ke arah menjadikan Malaysia, sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuk industri High Growth High Value (HGHV).
“Justeru, hari ini kita akan berpeluang untuk diperkenalkan dengan hala tuju baharu pembangunan ekonomi Bumiputera, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) sebagai satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera,” kata Rafizi pada Isnin.
Menurut beliau, pelan ini menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi Madani iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; kedua, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi; dan ketiga, menegakkan keadilan sosial.
“Berpaksikan semangat inklusif, Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan bahawa agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.
“Ini sama sekali, tidak akan menafikan hak kaum lain sebaliknya, mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak rakan-rakan Kabinet saya, penjawat awam, pihak swasta serta yang lain untuk bersama-sama berusaha untuk memastikan apa yang diaspirasikan dalam PuTERA35 dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” ucap Ahli Parlimen Pandan itu lagi.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengingatkan perancangan hebat hanya akan berkesan dengan kecekapan pelaksanan.
“Kita boleh ada perancangan yang hebat. Namun, perkara yang mustahak adalah kecekapan pelaksanaan demi keberkesanan rancangan yang dirangka.
“Pada Jumaat yang lepas, kita telah mendengar amanat Perdana Menteri supaya setiap daripada kita mesti mempunyai iltizam yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta bersedia untuk melaksanakan perubahan demi meningkatkan daya saing negara.
“Harapan besar kita bersama adalah bahawa Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 akan melahirkan generasi Bumiputera yang positif, progresif dan inovatif sekali gus mampu bersaing bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya.