Ismail Sabri Wajar Diberi Ruang Lebih Panjang

- Advertisement -

Oleh: Dr Syed Agil Alsagoff

CYBERJAYA: Ahad ini genaplah setahun Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Ogos 2021.

Pada mulanya ramai juga pemerhati politik yang melihat beliau mungkin tidak akan dapat melakukan banyak perkara kerana perwatakan beliau yang lembut.

Dengan suasana UMNO sendiri berkocak dari sudut dalaman dengan terbelah kepada beberapa kem, dan beliau sendiri hanya Naib Presiden, beliau berdepan kesukaran.

Bagaimanapun, setelah setahun, ramai yang terkejut kerana beliau mampu melakukan banyak perkara yang sebelum ini cuba dibuat oleh beberapa pemimpin tetapi gagal.

Perdana Menteri sebelum ini lahir dari keluarga bangsawan atau keluarga berada tetapi berbeza dengan Ismail Sabri yang lahir dari keluarga susah, anak seorang penoreh getah.

Beliau juga dikenali sebagai seorang yang lemah-lembut dan tidak begitu lantang bersuara jadi jangkaan umum ialah pencapaian beliau selaku ketua kerajaan juga akan sederhana.

Tetapi rupa-rupanya dalam kelemahlembutan itu ada senjata berbisa yang membolehkan banyak masalah negara dapat diatasi oleh beliau, termasuk dalam bidang kesihatan dan ekonomi.

Perkara yang paling mendapat perhatian semua pihak ialah mampukah Ismail Sabri mendapatkan sokongan padu daripada kalangan pemimpin tertinggi UMNO sendiri.

Diketahui umum dua pemimpin paling senior UMNO, iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi, mempunyai kepentingan dan kes masing-masing di mahkamah.

Jika beliau mempunyai cita-cita politik tinggi pastilah beliau akan mengarahkan hakim-hakim untuk mensabitkan pemimpin paling senior UMNO bagi membuka ruang kepada beliau.

Begitupun, Ismail Sabri dilihat langsung tidak mencampuri urusan mahkamah dan membiarkan perbicaraan ini berjalan tanpa gangguan, jadi masalah tidak timbul di sini.

Tuntutan-tuntutan UMNO mengenai pelbagai isu yang dijadikan sebagai ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga diakuri oleh beliau.

Lebih memberangsangkan lagi, bila Ismail Sabri sejak awal-awal lagi telah diumumkan sebagai calon Perdana Menteri UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Ini semua menunjukkan bahawa beliau sememangnya telah mendapat keyakinan daripada semua lapisan pemimpin UMNO sebagai ketua kerajaan bagi pihak mereka.

Apa-apa syak-wasangka yang beliau mempunyai niat tidak baik terhadap lain-lain pemimpin tertinggi UMNO atau mahu merebut kuasa dalam UMNO juga sudah terpadam.

Ini kerana bila UMNO berhadapan dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi melanjutkan tempoh pemilihan enam bulan selepas PRU 15 ia mampu diselesaikan.

Banyak pihak menjangkakan bahawa pindaan Perlembagaan UMNO ini akan sukar diluluskan dan pemilihan parti akan terpaksa dilangsungkan sebelum 29 Disember ini.

Ismail Sabri mempunyai kuasa untuk memastikan pindaan Perlembagaan UMNO ini tidak diluluskan oleh RoS sekali gus membolehkan beliau dinobat sebagai Presiden baru UMNO.

Apatah lagi kerana RoS adalah sebuah jabatan yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Diramalkan bahawa Ismail Sabri tidak akan mampu menguasai pengaruh Hamzah Zainuddin ke atas RoS malah beliau juga disebut mungkin akan bersekongkol dengan Hamzah Zainuddin.

Begitupun, ini tidak berlaku, dan pindaan Perlembagaan UMNO ini diluluskan oleh RoS di mana kelulusan ini disambut gembira oleh ahli dan pemimpin UMNO di seluruh negara.

Ini menjadi bukti bahawa Ismail Sabri, walaupun lemah lembut, tetap menguasai jentera kerajaan dan tidak tunduk kepada apa-apa desakan oleh mana-mana saingan UMNO.

Bahawa Ismail Sabri adalah benar-benar orang parti atau “party man” juga terserlah bila beliau dilihat tidak tunduk dengan pelbagai desakan dari BERSATU baru-baru ini.

BERSATU tegar menuntut supaya Ismail Sabri menunaikan janji untuk memberikan kepadanya jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memecat Datuk Zuraida Kamarudin dari kabinet.

Tetapi sehingga kini Ismail Sabri enggan melayan tuntutan ini selaras dengan prerogatif yang dipunyai olehnya selaku Perdana Menteri dan ini menceriakan ahli dan pemimpin UMNO.

Kesemua tindakan ini menjadi bukti yang meyakinkan ahli dan pemimpin UMNO bahawa Ismail Sabri di atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri memang benar-benar menjaga kepentingan UMNO.

Paling menonjolkan hakikat bahawa Ismail Sabri kini telah mendapat sokongan amat padu daripada kalangan ahli dan pemimpin UMNO ialah tulisan Datuk Seri Khaled Norden Selasa lalu.

Khaled Norden tidak seperti seorang lagi Naib Presiden UMNO, iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar, yang dilihat amat rapat dengan Ismail Sabri.

Khaled Norden sebelum ini tidak diketahui umum merupakan penyokong kuat Ismail Sabri, malah ada ketika-ketikanya Khaled Norden begitu kritikal kepada dasar-dasar kerajaan.

Bagaimanapun, kini Khaled Norden secara terbuka menyebut bahawa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mesti diberi ruang untuk menguruskan negara dengan caranya tersendiri.

Khaled Norden menggesa kita semua objektif, bersifat rasional serta tidak bersikap sinis dengan Ismail Sabri kerana beliau tahu bukanlah mudah mengemudi negara dalam keadaan yang sangat mencabar sebegini.

Ini selari dengan gesaan berulangkali Ismail Sabri sendiri kepada ahli dan pemimpin UMNO supaya tidak menembak kaki sendiri sebaliknya menumpukan kepada menembak kaki lawan.

Disebutkan juga oleh Khaled Norden mengenai betapa beraninya Ismail Sabri membuat keputusan tepat untuk menghapuskan AP bagi import bahan makanan yang seperti suatu ‘sumpahan’.

Turut diakui oleh Khaled Norden ialah betapa semenjak Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran, beberapa pembaharuan politik yang radikal juga telah beliau laksanakan.

Dinyatakan penting untuk kita menghargai kejayaan beliau membanteras kecurangan politik dengan lulusnya RUU Anti Lompat Parti yang sangat istimewa kerana setelah begitu lama ia boleh diselesaikan dalam hanya setahun pentadbiran beliau.

Sememangnya amat wajar sekali Ismail Sabri diberi ruang masa yang lebih panjang untuk meneruskan beberapa perkara penting yang belum selesai.

Penulis ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,499FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat