Pengalaman, Kesetiaan Bung Moktar Mampu Stabilkan Politik Sabah

- Advertisement -

Cyberjaya – Pengalaman dan kesetiaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat mampu menstabilkan politik di negeri Sabah.

Menurut Felo Penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri pemilihan ahli parlimen Kinabatangan itu untuk mengetuai jentera BN di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini mampu memberi kelebihan pada parti itu.

“Pada saya beliau orang yang ada banyak pengalaman, pernah menjadi ADUN, ahli parlimen dan dia tahu selok belok politik di Sabah.

“Ini adalah merupakan satu kerjasama atau langkah strategik yang sepatutnya sudah diberikan kepada Sabah dari dulu lagi kerana hanya orang Sabah sahaja tahu permainan politik di negeri itu, bagaimana jentera harus digerakkan dan tahu citarasa untuk menarik minat sokongan orang Sabah sendiri.

“Dan dengan semua pengalaman yang ada pada beliau itu, ia boleh dimanfaatkan UMNO/BN untuk memenangi PRN kali ini,” katanya ketika dihubungi SuaraTV.

Seterusnya Pensyarah Kanan UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, pengundi boleh melihat faktor kesetiaan dan ketegasan Bung Moktar di saat UMNO sedang terbuang akan mampu memberi kestabilan terhadap politik di Sabah.

“Sudah sewajarnya lah begitu sebab dia Pengerusi UMNO Sabah dan MP yang setia dengan parti walau di saat UMNO sedang terbuang.

“Kesetiaannya kepada parti sudah teruji, jadi tidak perlu dibimbangi dia mungkin akan lompat parti setelah PRN berlangsung nanti. Dia juga bertanggungjawab mempertahankan dan membina balik parti dari kemusnahan,” ujarnya pula.

Seterusnya Dr Achmad menjelaskan pemilihan muka baharu adalah antara formula yang boleh diambil kira untuk memastikan kemenangan parti itu di Sabah.

“Antara kriteria untuk menang PRN kali ini, mereka (BN Sabah) perlu calon-calon baharu yang mampu ditonjolkan. Orang baharu tidak semestinya orang muda, orang berpengalaman pun boleh ditonjolkan. Bagaimana untuk mencari calon, itu terpulang kepada Pengerusi BN Sabah.

“Dia mungkin sudah mendapat gambaran yang jelas siapakah calon-calon yang patut ditonjolkan untuk dipertaruhkan di PRN Sabah ini,” tegasnya pula.

Pengerusi BN, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media pada Rabu, mengumumkan pemilihan Bung Moktar untuk mengetuai jentera pilihan raya BN serta diberi kuasa penuh untuk menentukan agihan kerusi dan calon Ketua Menteri seterusnya.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan kuasa autonomi UMNO Sabah, yang diwartakan pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat