Ayatollah Khamenei ikrar Iran akan terus serang balas Israel, beri amaran AS tak campur tangan

- Advertisement -

TEHRAN – Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, hari ini, menegaskan bahawa Iran tidak akan pernah menyerah dan akan terus menyerang balas Israel bagi mempertahankan negara.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika negara berkenaan melancarkan peluru berpandu hipersonik dalam satu lagi gelombang serangan terhadap Israel, dalam perang yang memasuki hari keenam.

Serangan peluru berpandu terbaharu itu berlaku beberapa jam selepas Israel mendakwa memusnahkan ibu pejabat keselamatan dalam negeri Iran di Tehran.

Menurut tentera Israel, gelombang serangan baharu itu menyasarkan sistem peluru berpandu serta tapak penyimpanan senjata di barat Iran dan sudah mula memperluaskan skop serangan ke kawasan lain di Iran.

Khamenei turut memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya tidak campur tangan dalam konflik itu, selepas Presiden AS Donald Trump, memberi bayangan mahu terbabit dan menggesa Tehran menyerah tanpa syarat.

“Negara ini tidak akan pernah menyerah,” kata Khamenei dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, di mana beliau menyifatkan kata dua Trump sebagai ‘tidak boleh diterima’.

“AS perlu tahu bahawa sebarang campur tangan ketenteraan pasti akan membawa kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan,” lapor AFP.

Televisyen Iran melaporkan pelancaran peluru berpandu hipersonik Fattah, manakala Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut mengumumkan pelancaran peluru berpandu berat jarak jauh yang digelar ‘super-heavy’.

Seorang pegawai tentera Israel yang enggan dinamakan, memberitahu Iran melancarkan kira-kira 400 peluru berpandu balistik dan 1,000 dron sejak Jumaat lalu.

Tambahnya, kira-kira 20 peluru berpandu Iran sampai ke sasaran di kawasan awam di Israel.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata jet tentera udara mereka memusnahkan ibu pejabat keselamatan dalam negeri Iran.

Sementara itu, sebuah badan pemantau internet berpangkalan di London melaporkan bahawa terdapat gangguan hampir menyeluruh ke atas talian internet di Iran semalam.

Iran kemudian mengumumkan sekatan internet yang lebih ketat, menurut agensi berita Fars.

Sekatan internet mula dikuatkuasakan sejak awal kempen ketenteraan Israel minggu lalu.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan menerusi satu hantaran di platform X bahawa negaranya masih komited terhadap diplomasi, namun bertindak atas dasar mempertahankan diri ke atas Israel.

“Iran setakat ini hanya membalas rejim Israel dan bukan terhadap pihak-pihak yang membantu dan bersekongkol dengannya,” katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen, berkata Israel sedang menghentam Iran dengan kuasa yang sangat besar namun mengakui bahawa Israel juga mengalami kehilangan yang menyakitkan.

Sejak Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan terbunuh di Israel dan ratusan lain cedera, menurut pejabat Netanyahu.

Iran pula berkata serangan Israel Ahad lalu, membunuh sekurang-kurangnya 224 orang, termasuk komander tentera, saintis nuklear dan orang awam tetapi belum mengemas kini angka korban.

Israel menyatakan bahawa kempen serangan mengejut mereka bertujuan menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.

Israel pula terus mengekalkan sikap tidak mendedahkan secara rasmi aktiviti nuklearnya, namun Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) melaporkan bahawa Israel memiliki 90 kepala peledak nuklear.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat