KPT Sasar 55 Peratus Pelajar lepasan SPM Lanjut Pengajian Dalam TVET – Dr Noraini

- Advertisement -

BATU PAHAT – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) menjelang tahun 2025.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perkara berkenaan adalah seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang para graduan selain mempunyai ijazah mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Katanya, usaha pemerkasaan TVET memerlukan paduan tenaga daripada pelbagai pihak, termasuklah pihak kerajaan dan industri mesti bekerjasama rapat.

“KPT sentiasa mengalu-alukan buah fikiran pihak industri dalam mendapatkan pandangan serta idea-idea baharu tentang bagaimana hendak mengukuhkan lagi sektor pendidikan tinggi di negara kita.

“Dalam erti kata lain, hubungan pihak universiti dengan industri dan masyarakat sangat penting bagi memastikan proses menghasilkan graduan yang berkualiti oleh universiti seiring dengan keperluan serta kehendak industri,” kata beliau ketika berucap merasmikan Program Pemerkasaan TVET dan kerjasama Strategik UTHM (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia)-Industri, hari ini.

Jelas Noraini lagi, selain memperkasakan bidang TVET, pihaknya kini juga giat membentuk pemikiran keusahawanan dalam kalangan pelajar IPT dan ia perlu dipupuk serta dibudayakan dalam kalangan rakyat sedari awal persekolahan lagi.

Mengambil contoh negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman, beliau berkata dasar keusahawanan mereka diaplikasikan dalam pelan tindakan inovasi dan strategi industri bermula di peringkat pengajian rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Optimis dengan perkara ini, KPT telah menetapkan dalam Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 agar kurikulum keusahawanan di IPT diperkasa, sekali gus akan memberikan penekanan bidang usahawan dalam kalangan pelajar,” kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim berkata, pihaknya menyasarkan dan memperluaskan kursus pengajian berasaskan TVET bagi semua 46 kursus pengajian yang ditawarkan di universiti berkenaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Sekarang ini kami mempunyai beberapa kursus di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Fakulti Teknikal dan Kejuruteraan (FTK) yang menawarkan kursus pengajian berasaskan TVET, iaitu kami akan perluaskannya lagi,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat