KUALA LUMPUR -Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mengingatkan pemimpin Amanah supaya tidak sesekali cuba mengugut selepas Barisan Nasional (BN) Johor memilih untuk bergerak sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Speaker DUN Johor itu secara sinis meminta Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat bertanya sendiri kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika dia akan tunduk kepada “ugutan DAP.”
Menurut Puad hal itu berlaku selepas Anwar sendiri menegaskan agar dia tidak diugut oleh sesiapa.
“Suhaizan jangan cuba ugut BN Johor. Lebih wajar Amanah ugut DAP kerana DAP yang terang-terangan mengugut PM.
“(Kononnya) semua Menteri DAP akan letak jawatan pada Julai ini. Apakah itu bukan ugutan?” katanya di Facebook.
Terdahulu, Suhaizan yang juga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Amanah Nasional dalam kenyataannya berkata Anwar telah memberi peluang terakhir kepada BN untuk berunding soal kerusi bagi PRN Johor.
Suhaizan berkata, Umno dan BN wajar membuat pilihan dengan baik dan tidak sesekali bersikap angkuh.
Perkara ini berlaku ketika BN dah PH semakin terbuka menyerang antara satu sama lain di sebalik hubungan mereka sebagai Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat pusat atau negeri.
Pertikaian terbuka itu berlaku selepas BN Johor mengumumkan mereka akan meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN dan disambut dengan nada serupa oleh PH.
Puad yang juga Adun Rengit berkata, DAP mengugut untuk melepaskan jawatan menteri yang disandang pemimpinnya kerana membantah keras jika Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan atau dibenarkan menjalani tahanan dalam rumah.
Dakwa beliau DAP malu parti berkenaan berjuang habis-habisan supaya Najib dimasukkan penjara terkait dengan skandal 1MDB.
“Apakah Suhaizan sokong ugutan DAP itu? Jangan lupa, PM juga dapat pengampunan.
“Suhaizan kena tanya PM, apakah dia tunduk kepada ugutan DAP?” bidas beliau.
Dalam pada itu, Puad turut menjelaskan sikap diambil BN Johor yang memilih untuk tidak bekerjasama dengan PH menghadapi PRN.
“BN Johor tidak mengugut, tetapi bimbang terlepas peluang menyempurnakan agenda Maju Johor 2030,” jelas beliau.



