PUTRAJAYA – Kerajaan menjangkakan impak krisis bekalan global akan menjadi lebih ketara bermula suku ketiga tahun ini, khususnya terhadap kestabilan harga, kos operasi industri serta pasaran buruh negara.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun ekonomi negara masih berada pada landasan kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus bagi suku pertama 2026, kerajaan mengambil pendekatan berjaga-jaga susulan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan rantaian bekalan global.
Menurut beliau, pertumbuhan itu lebih baik berbanding beberapa ekonomi utama dunia termasuk Singapura yang mencatat 4.6 peratus, Filipina 2.8 peratus dan China 5.0 peratus.
“Angka ini akan menjadi asas untuk kita bertindak lebih awal, lebih tersusun, proaktif dan responsif. Impak krisis bekalan global dijangka lebih ketara pada suku ketiga tahun ini, khususnya terhadap kestabilan harga, kos operasi industri dan pasaran buruh,” katanya dalam taklimat Krisis Bekalan Global susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 11 Tahun 2026 hari ini.
Akmal berkata, bagi tempoh 11 hingga 15 Mei lalu, purata harga minyak mentah Brent meningkat 3.5 peratus daripada AS$106.16 setong kepada AS$109.85 setong akibat ketidaktentuan geopolitik global dan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan minyak dunia.
Beliau berkata, kadar inflasi negara pada April 2026 turut meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada Mac lalu, dipengaruhi terutamanya oleh kenaikan kos pengangkutan susulan peningkatan harga diesel dan RON97.
Bagaimanapun katanya, kumpulan utama lain seperti makanan dan minuman serta perumahan masih terkawal dan tidak menunjukkan peningkatan mendadak.
Dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, kerajaan akan meneruskan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan selain bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima layak.
Kerajaan juga mula menyalurkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar bermula hari ini bagi membantu mengurangkan tekanan kos operasi sektor pertanian.
Sementara itu, MTEN turut dimaklumkan bahawa lima subsektor pembuatan paling terkesan akibat tekanan bekalan global ialah automotif dan komponen, makanan dan minuman, plastik dan pembungkusan, kimia dan petrokimia serta elektrikal dan elektronik.
Bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan menyediakan kemudahan SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) bernilai RM5 bilion melalui Bank Negara Malaysia untuk menyokong aliran tunai dan kesinambungan operasi syarikat terjejas.
Menurut Akmal, sepanjang tempoh krisis ini, MTEN telah bersidang sebanyak 10 kali dan membincangkan 24 kertas pembentangan merentasi 13 sektor ekonomi dengan 96 keputusan telah diminitkan.
“Kerajaan tidak dapat mengawal sepenuhnya harga minyak dunia atau konflik geopolitik global. Namun, kita boleh mengawal kesiapsiagaan negara, ketepatan dasar, keberkesanan pelaksanaan dan keadilan dalam menyalurkan bantuan,” katanya.



