Pendekatan TVET bantu anak lepasan JKM capai masa depan lebih terjamin – Nancy Shukri

SERDANG, – Pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta latihan kemahiran dikenal pasti sebagai elemen penting dalam membantu anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membina masa depan lebih terjamin dan berdikari.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan menerusi Inisiatif Anjung Sinar yang diperkenalkan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Menurut beliau, usaha memperkasa TVET adalah selari dengan keperluan semasa industri serta komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan golongan rentan.

“Pendekatan TVET dan latihan kemahiran merupakan antara elemen penting dalam membantu peserta program Anjung Sinar, khususnya anak-anak lepasan institusi JKM, agar mereka dapat melangkah ke alam dewasa dengan masa depan yang lebih terjamin serta mampu berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Anjung Sinar 2026 sempena Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 di Universiti Putra Malaysia malam tadi.

Nancy menegaskan, kerjasama erat dengan sektor swasta dan pemain industri amat penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan berkenaan untuk meneroka bidang TVET yang semakin mendapat permintaan.

Katanya, menerusi kerjasama strategik bersama institusi latihan, pihak industri dan sektor korporat, peserta program dapat menikmati akses kepada pelbagai latihan kemahiran, latihan industri serta peluang penempatan pekerjaan.

Antara bidang kemahiran yang diperkenalkan sebelum ini termasuk gunting rambut, kulinari dan barista melalui kerjasama dengan Kolej Komuniti Selayang.

Dalam masa sama, latihan kemahiran akan terus diperluaskan ke bidang kecantikan dan terapi kesihatan, jahitan dan kraftangan serta pembuatan pastri yang akan dipusatkan di Anjung Dinamik yang baharu dilancarkan.

YKN turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Kulim Hi-Tech Park Skills Centre bagi membuka lebih banyak peluang latihan dan penempatan pekerjaan dalam sektor berteknologi tinggi.

Pada majlis sama, seramai 12 peserta menerima surat tawaran latihan kemahiran dan penempatan kerjaya hasil kerjasama dengan Public Islamic Bank Berhad dan KHTPSC yang akan bermula Jun ini.

Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 siri keempat yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei itu melibatkan penyertaan 126 anak-anak institusi JKM dari seluruh negara.

Selain itu, seramai 22 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam kalangan anak-anak institusi JKM turut diraikan atas pencapaian akademik mereka.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, program Anjung Sinar telah memasuki siri pelaksanaan keempat dengan penglibatan seramai 1,058 peserta daripada 21 institusi JKM di seluruh negara.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat