BN tak khianat Kerajaan Perpaduan, sokong BN Johor tanding solo PRN – Zambry

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menghormati pendirian yang disuarakan oleh BN Negeri Johor berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen BN Johor.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan, BN berpendirian persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan dan persefahaman ini disepakati hingga mandat berakhir.

Justeru katanya, tidak timbul persoalan BN mengkhianati Kerajaan Perpaduan.

“BN akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat,” jelas beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Baru-baru ini Pengerusi BN Johor merangkap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, BN Johor hari ini mengesahkan akan meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Onn Hafiz berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama keseluruhan kepimpinan akar umbi Umno dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang PRN Johor.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

“Bagi Umno dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.

Beliau turut berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandangan, suara dan harapan rakyat di negeri itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat